Didakwa terlibat salah laku, Tengku Zafrul akan lapor polis

Didakwa terlibat salah laku, Tengku Zafrul akan lapor polis

Menteri pelaburan, perdagangan dan industri mahu siasatan rasmi dimulakan mengulas dakwaan dibuat seorang lelaki dalam video tular.

Tengku Zafrul Aziz berkata video tersebar di media sosial itu membayangkan beliau terlibat salah laku kerana hadir pelancaran satu produk pada 2023. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tengku Zafrul Aziz akan memfailkan laporan polis berhubung video tular membayangkan dirinya terlibat dalam salah laku.

Menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu berkata, beliau akan membuat laporan polis sekembalinya ke Malaysia memandangkan sedang mengiringi Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam lawatan ke Australia.

“Terdapat video yang telah tersebar di media sosial membayangkan saya terlibat dalam salah laku berikutan kehadiran saya pada pelancaran satu produk pada 2023.

“Saya menerima jemputan itu dengan niat baik dan pasukan kami tidak mempunyai pengetahuan awal tentang dakwaan atau ketidakwajaran tersirat yang ditimbulkan dalam video tersebut.

“Oleh itu, pasukan saya telah memulakan siasatan mengenai perkara ini, dan saya akan membuat laporan polis sebaik sahaja saya kembali ke Malaysia supaya siasatan rasmi boleh dimulakan,” katanya kepada Malaysiakini.

Tengku Zafrul turut menggesa mana-mana pihak yang mempunyai bukti mengenai dakwaan salah laku terbabit untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa berkaitan.

Terdahulu, seorang lelaki yang tidak dikenali dalam sebuah rakaman video di media sosial mendakwa dia dibayar RM800 untuk menjadi ‘CEO’ sebuah syarikat dengan menandatangani MoU palsu, dalam satu majlis yang turut dihadiri Tengku Zafrul.

Lelaki itu mendakwa syarikat itu menggunakan MoU palsu untuk mengumpul RM36 juta.

Lelaki itu mendakwa bekerja dengan syarikat pengiklanan terkenal dan menunjukkan gambar dirinya bersama bekas perdana menteri, Najib Razak yang kini sedang dipenjarakan.

Video itu ditujukan kepada Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin selain turut meminta perhatian Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berhubung perkara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.