Tunggu lepas Ramadan, Rafizi beritahu ‘Lim Sian See’ berkait jemputan ke audio siar

Tunggu lepas Ramadan, Rafizi beritahu ‘Lim Sian See’ berkait jemputan ke audio siar

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata tidak sesuai untuk menjemput pempengaruh media sosial itu ke program berkenaan pada Ramadan.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata beliau bercuti sakit hingga 1 Mac susulan pembedahan tulang belakang dua minggu lalu.
PETALING JAYA:
Rafizi Ramli meminta Lim Sian See menunggu selepas Ramadan untuk menjemput pempengaruh media sosial menjadi tetamu dalam program audio siar menteri ekonomi itu.

Rafizi berkata demikian bagi mengulas kenyataan Lim bahawa wakil beliau masih belum menghubunginya dan mempersoalkan kelewatan tersebut.

Dalam kenyataan di media sosial X, Rafizi berkata beliau bercuti sakit hingga 1 Mac susulan pembedahan tulang belakang dua minggu lalu dan pada minggu ini banyak urusan yang perlu diselesaikan.

“Lim Sian See ni ada sedikit ‘entitlement’. Saya baru dua minggu pembedahan tulang belakang, pun tak penting, asal kena layan dia sebab dialah orang paling penting dalam dunia ni.

“Minggu depan dah Ramadan, waktu malam orang solat tarawih, bukan ‘berpodcast’. Tunggulah lepas Ramadan, dan selepas urusan-urusan lain yang lebih mendesak,” katanya.

Pada 19 Feb lalu, Rafizi berkata beliau mahu menjemput Lim, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi dan bekas ketua penerangan Umno, Isham Jalil menjadi tetamu audio siar ‘Yang Bakar Menteri’ bagi mendengar idea membantu negara dari sudut ekonomi.

Rafizi juga berkata beliau mahu mendedahkan wajah sebenar watak yang mengendalikan kempen propaganda yang mempertahankan 1MDB selama ini.

Bagaimanapun, Rafizi berkata beliau akan mendapat maklum balas Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi yang juga presiden Umno terlebih dahulu sebelum menjemput mereka.

Lim kemudiannya segera menerima cabaran itu dan meminta sesi “one vs one” (eksklusif) dengan Rafizi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.