Pelarasan cukai perkhidmatan ambil kira beban rakyat, tak tekan ekonomi

Pelarasan cukai perkhidmatan ambil kira beban rakyat, tak tekan ekonomi

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata setiap keputusan kerajaan berkaitan cukai tidak memberi kesan langsung kepada golongan rentan.

Amir Hamzah Azizan berkata pelarasan cukai perkhidmatan telah mengambil kira pendekatan bagi mengurangkan beban rakyat dan kerajaan akan terus fokus menyediakan bantuan menerusi subsidi bersasar.
KUALA LUMPUR:
Pelarasan cukai perkhidmatan berkuat kuasa 1 Mac lalu telah mengambil kira pendekatan untuk mengurangkan beban kepada keseluruhan rakyat, kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.

Beliau menjelaskan, perubahan kadar daripada 6% kepada 8% bagi segelintir sektor itu ‘juga tidak menekan ekonomi’ dan kerajaan akan terus fokus membantu menyediakan bantuan dengan pelaksanaan subsidi bersasar.

“Secara dasarnya setiap keputusan kerajaan berkaitan cukai tidak memberi kesan langsung kepada golongan rentan dan kebajikan mereka terus dijaga,” katanya menjawab soalan tambahan Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) di Dewan Rakyat.

Menjawab soalan Syed Hussin berkait Cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Amir berkata sekarang bukan masa sesuai memperkenalkannya semula ketika rakyat berpendapatan rendah berdepan cabaran kos sara hidup kerana percukaian itu bersifat penggunaan luas.

“Walaupun kadar inflasi 2023 secara purata adalah 2.5% tetapi bagi makanan dan minuman hampir 5%, kategori ini lebih dirasai rakyat…itu antara faktor cukai perkhidmatan 6% (kekal untuk kategori makanan dan minuman).

“Kerajaan akan terus menambah baik sistem percukaian sedia ada dan memperkenalkan cukai tidak memberi kesan kepada golongan rentan sebelum menilai keperluan memperkenalkan cukai penggunaan seperti GST,” katanya.

Amir berkata bagi memenuhi keperluan meningkatkan hasil negara kerajaan telah mengambil pendekatan berperingkat dengan meluaskan asas cukai kepada mereka yang mempunyai lebih kemampuan terlebih dahulu.

“Sebagai contoh walaupun kadar cukai telah meningkat kepada 8%, cukai perkhidmatan (tambahan 2%) untuk elektrik hanya dikenakan untuk penggunaan melebihi 600 kilowatt sejam (kWj) iaitu sekitar 15% pengguna,” katanya.

Sebelum ini, Putrajaya menjelaskan pelarasan cukai perkhidmatan hanya memfokuskan aktiviti berkaitan perkhidmatan kemahuan dan aktiviti antara perniagaan bagi memastikan rakyat tidak dibebani kadar cukai kepenggunaan lebih tinggi, khususnya dalam perkhidmatan keperluan penting.

Perkhidmatan yang banyak digunakan rakyat seperti makanan dan minuman, penghantaran makanan dan minuman, telekomunikasi serta parkir kenderaan kekal dengan cukai 6%.

Kerajaan menjangkakan tambahan hasil RM3 bilion daripada pelarasan itu yang akan membantu Putrajaya menambah baik bantuan bersasar kepada rakyat, menambah baik dan menyelenggara prasarana awam kritikal seperti penjagaan kesihatan, sekolah serta jalan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.