Keputusan rayuan sabitan rasuah Isa Samad esok

Keputusan rayuan sabitan rasuah Isa Samad esok

Sebelum ini, mahkamah menetapkan 31 Jan lepas untuk menyampaikan keputusan namun tarikh tersebut telah dilapangkan dan ditangguh sehingga esok.

Pada 3 Feb 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Isa Samad, 73, bersalah atas semua pertuduhan rasuah membabitkan RM3.09 juta dalam pembelian Merdeka Palace Hotel& Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Keputusan rayuan bekas Pengerusi Felda Isa Samad terhadap sabitan dan hukuman bagi sembilan pertuduhan rasuah berkaitan pembelian sebuah hotel di Sarawak akan diketahui esok.

Keputusan itu dijangka diumumkan oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Vazeer Alam Mydin Meera, Ahmad Zaidi Ibrahim dan S M Komathy Suppiah pada 9 pagi.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan 31 Jan lepas untuk menyampaikan keputusan berhubung rayuan itu namun tarikh tersebut telah dilapangkan dan ditangguh sehingga esok.

Pada 3 Feb 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Isa, 73, bersalah atas semua pertuduhan rasuah membabitkan RM3.09 juta dalam pembelian Merdeka Palace Hotel& Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 49 Menara Felda, Platinum Park, No 11 Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhi hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dan denda RM15.45 juta, atau penjara 18 tahun jika gagal membayar denda itu, ke atas Isa.

Bagaimanapun, Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara selama enam tahun apabila mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

Mohd Isa, yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan, telah memfailkan notis rayuan pada 4 Feb 2021.

Beliau bebas dengan jaminan sebanyak RM1.5 juta dan dikehendaki melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap 1 hari bulan hingga rayuan selesai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.