Tiada aduan pergerakan pengikut Mawla Amin di Johor, kata exco

Tiada aduan pergerakan pengikut Mawla Amin di Johor, kata exco

Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan polis bagi memastikan tiada pengikut Mawla Amin di Johor.

Mohd Fared Mohd Khalid menasihatkan umat Islam di Johor segera melaporkan kepada JAINJ atau polis jika mengesan penularan pergerakan pengikut Mawla Amin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) tidak menerima sebarang aduan atau laporan pergerakan pengikut Mawla Mohamed Amin al-Hassani atau Mawla Amin.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan polis bagi memastikan tiada pengikut Mawla Amin di Johor.

Beliau turut menasihatkan umat Islam di Johor segera melaporkan kepada JAINJ atau polis jika mengesan penularan pergerakan kumpulan itu.

“Saya berharap semua pihak akan sentiasa membuat aduan dan pemakluman kepada JAINJ mengenai semua perkara yang mereka gusar dan keliru mengenai agama islam di negeri ini,” katanya menurut Harian Metro selepas Majlis Penyerahan Bantuan Usahawan Majlis Agama Islam Sempena Program Tanggungjawab Sosial Korporat Sirim Berhad di Kulai.

Sebelum ini, polis dilaporkan memantau kegiatan seorang lelaki mendakwa dirinya warga Maghribi yang dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai Mawla Amin dan mengaku mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad.

Ia susulan laporan seorang mudir sebuah madrasah di Selangor yang turut aktif mempromosikan Mawla Amin didakwa mengutip dana awam secara tidak sah, selain cuba mewujudkan perkampungan kerajaan 9 di Melaka sebagai persiapan akhir zaman buat pengikutnya.

Fared berkata, JAINJ sentiasa membuat pemantauan dengan pihak berkuasa lain, khasnya Jabatan Imigresen dan polis untuk memastikan tiada individu menyalahgunakan karakter peribadi bagi manfaat publisiti.

“Di negeri kita ini, semua pendakwah ataupun penceramah wajib ada tauliah. Jadi, kita tidak memperakui pun yang namanya Mawla ke, Syed ke, Sheikh ke, selagi mana mereka tidak berdaftar dengan kita dan tak berjumpa dengan Majlis Agama Islam Negeri Johor terlebih dahulu.

“Sekiranya muncul di Johor, kita tidak memperakui mereka sebagai pendakwah ataupun mereka yang berhak dihormati dari segi kredibiliti keagamaannya di Johor.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.