SESB catu elektrik di Sabah jika permintaan terus meningkat

SESB catu elektrik di Sabah jika permintaan terus meningkat

Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd Wilfred Madius Tangau berkata ia akan dilakukan jika permintaan terus meningkat sehingga melebihi kapasiti 'reserve margin' pada cuaca panas ketika ini.

SESB juga sedang melaksanakan kerja kecemasan membaiki dua menara penghantaran tenaga elektrik di Kampung Nabutan dan Randagong, Ranau, yang mengalami kerosakan kritikal, kata Pengerusinya Wilfred Madius Tangau. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mungkin akan mencatu bekalan tenaga elektrik kepada pengguna di negeri terbabit jika permintaan terus meningkat sehingga melebihi kapasiti ‘reserve margin’ pada cuaca panas ketika ini.

Pengerusinya, Wilfred Madius Tangau, berkata permintaan terhadap tenaga elektrik yang meningkat melebihi kapasiti, iaitu pada paras 12% ke bawah boleh memberi tekanan terhadap kestabilan sistem grid.

“Keadaan cuaca yang begitu panas menyebabkan permintaan terhadap tenaga elektrik ketika ini semakin meningkat.

“Jika permintaan semakin meningkat sehingga melebihi kapasiti ‘reserve margin’ yang ada, iaitu pada paras bawah 12%, catuan bekalan mungkin akan terpaksa dilakukan oleh SESB,” katanya dalam satu kenyataan semalam, menurut Berita Harian.

Dalam pada itu, beliau juga berkata SESB sedang melaksanakan kerja kecemasan membaiki dua menara penghantaran tenaga elektrik di Kampung Nabutan dan Randagong, Ranau, yang dikesan mengalami kerosakan kritikal ketika kerja pemeriksaan dijalankan pada penghujung tahun lalu.

“Biarpun kerja kecemasan menggantikan menara sudah dilakukan serta merta, mendapan serta pergerakan tanah yang aktif di sekitar tapak menara talian penghantaran itu menjejaskan kestabilan struktur utama menara berkenaan.

“Keadaan itu menimbulkan risiko menara terbabit akan tumbang jika langkah awal menanganinya tidak dilaksanakan segera,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.