Perbicaraan di ICJ: Terima kasih sokong kami, kata duta Palestin

Perbicaraan di ICJ: Terima kasih sokong kami, kata duta Palestin

Pada sesi pendengaran awam isu Palestin di ICJ bulan lalu, Malaysia mendesak Israel menghentikan semua pencabulan berterusan dan segera berundur dari wilayah diduduki.

Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, rakyat Palestin mengagumi dan sangat menghargai mesej disampaikan Malaysia di The Hague. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Palestin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan rakyat Malaysia atas sokongan teguh terhadap negara itu semasa sesi pendengaran awam di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), The Hague.

“Bagi pihak rakyat Palestin, kami mengagumi dan sangat menghargai mesej disampaikan Malaysia di The Hague,” kata Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali pada sidang media di pejabatnya di sini.

Malaysia dalam menyampaikan kenyataan lisan pada sesi pendengaran awam berhubung isu Palestin di ICJ Februari lalu mendesak Israel mesti menghentikan semua pencabulan berterusan dan berundur dari Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT) serta-merta.

Menteri Luar, Mohamad Hasan yang menyampaikan kenyataan itu juga menyenaraikan empat elemen substantif utama hak untuk menubuhkan negara sendiri bagi rakyat Palestin – hak terhadap integriti wilayah, hak terhadap kesatuan wilayah dan perlindungan terhadap integritinya, hak terhadap kedaulatan kekal ke atas kekayaan dan sumber semula jadi, serta kebebasan untuk menikmati pembangunan ekonomi, sosial dan budaya.

Malaysia juga menegaskan kewajipan semua negara untuk terus menyokong Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNRWA) bagi Pelarian Palestin dan sebaliknya menghentikan sebarang bantuan kewangan atau ketenteraan kepada Israel.

Duta itu juga menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap rakyat Palestin di Gaza menjelang Ramadan, ketika Israel meneruskan serangan di wilayah dikepung itu.

Beliau menggesa gencatan senjata tanpa syarat dan segera di Gaza untuk memudahkan koridor kemanusiaan dalam menyampaikan bantuan mendesak kepada rakyat Palestin.

Bagaimanapun, beliau ragu-ragu tentera rejim akan menghentikan serangan mereka.

“Ramadan amat bermakna kepada semua umat Islam. Tetapi, tidak kepada semua pengganas di Israel pada masa ini. Perkara ini tidak akan pernah berubah, sama ada pada Ramadan atau sebaliknya.

“Israel akan terus menyerang dan membunuh rakyat Palestin tidak bersalah.”

Beliau turut mengecam Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben Gvir mengesyorkan untuk menyekat kemasukan umat Islam ke Masjid Al-Aqsa semasa Ramadan.

Sekurang-kurangnya 30,410 penduduk Palestin terbunuh dan lebih 71,700 lagi cedera dalam serangan berterusan Israel ke atas Gaza sejak 7 Okt lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.