
Yang Dipertua Maik dan Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kelantan dilantik juruaudit luar program itu bagi memastikan ia berjalan lancar.
Katanya, program itu akan bermula awal Julai ini membabitkan semua masjid negeri, bandar, jajahan disusuli masjid mukim kategori A.
“Selepas selesai semua masjid ini, program berkenaan akan diteruskan kepada semua masjid mukim besar dan sub mukim.
“Terdapat beberapa perkara penting yang ditekankan dan pelaksanaan bakal dilakukan serta kejayaan membanggakan dicapai Bahagian Pentadbiran Masjid Maik,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, pengauditan itu bukan bagi mencari kesalahan jawatankuasa masjid dalam menguruskan kewangan, sebaliknya sebagai semak dan imbang serta kaedah memberi teguran bagi menambah baik cara pengurusan kewangan.
Dalam perkembangan lain, katanya, Maik akan memperkenalkan skim taawun berkonsep sama dengan program takaful bagi memastikan kebajikan pegawai masjid mukim sentiasa terjaga.
“Skim ini adalah perlindungan perubatan dalam bentuk sumbangan kepada pegawai masjid mukim yang mempunyai penyakit biasa atau kritikal, termasuk dimasukkan ke wad bagi rawatan.
“Kita dapati ada pegawai masjid mukim tidak mampu menanggung kos rawatan perubatan tinggi, maka skim ini dapat membantu meringankan beban mereka,” katanya sambil menambah skim itu akan berkuat kuasa selepas diperkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.