Prosiding hina mahkamah terhadap Isham dibenarkan

Prosiding hina mahkamah terhadap Isham dibenarkan

Timbalan pendakwa raya Mustaffa Kunyalam berkata mahkamah berpuas hati kes prima facie berjaya dibuktikan terhadap Isham Jalil.

Peguam negara sebelum ini memohon prosiding menghina mahkamah dikenakan terhadap Isham Jalil berhubung kenyataan dibuatnya dalam wawancara disiarkan di Facebook 30 Sept lalu.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi membenarkan peguam negara memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Isham Jalil berhubung kenyataan dibuatnya berkait kes 1MDB Najib Razak.

Hakim Mahkamah Tinggi Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Mustaffa Kunyalam dan peguam Azhar Harun, yang mewakili Isham.

“Permohonan dibenarkan. Perintah adalah sebagaimana dimohon,” kata Noorin.

Mustaffa yang ditemui wartawan selepas prosiding itu berkata, mahkamah berpuas hati peguam negara berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Isham.

“Kami akan menyerahkan kertas kausa dalam tempoh lapan hari kepada Isham untuk menjawab tuduhan,” katanya.

Mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 23 April ini.

Dalam permohonan ex-parte difailkan pada 28 Dis tahun lalu, peguam negara turut memohon mahkamah memenjara atau mengenakan hukuman denda terhadap Isham atau nama sebenarnya, Hizatul Isham Abdul Jalil.

Permohonan itu difailkan atas alasan Isham mengucapkan kata-kata berbentuk penghinaan kepada mahkamah dalam temu bual “Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?” disiarkan di Facebook The Malaya Post pada 30 Sept tahun lalu.

Peguam negara mendakwa dalam temu bual itu, Isham mempersoal proses perbicaraan dan rayuan membabitkan bekas perdana menteri dalam kes berkaitan SRC International serta 1MDB.

Isham turut didakwa mempertikai proses pendengaran permohonan penarikan diri Collin Lawrence Sequerah yang mendengar perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi di sini serta proses rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam kes SRC International.

Peguam negara juga mendakwa perkataan diucapkan Isham mengaibkan badan kehakiman dan boleh menggugat keyakinan orang awam terhadap institusi kehakiman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.