
Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berkata berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2012, penganjur hanya perlu memaklumkan kepada polis sebelum perhimpunan diadakan.
Tegasnya, mengikut akta yang diwartakan 12 tahun lalu itu, polis tidak lagi mempunyai kuasa untuk menolak sebarang perhimpunan.
“KDN dan KPN mesti membetulkan polis dan memastikan rakyat dapat melaksanakan hak dan kebebasan mereka.
“Polis perlu dilatih semula dalam cara menangani perhimpunan serta mempunyai pemahaman yang lebih lengkap tentang apa yang dimaksudkan dengan hak asasi manusia dalam sesebuah masyarakat berdemokrasi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas tindakan polis yang didakwa enggan menerima notis perhimpunan dihantar jawatankuasa penganjuran Women’s March Malaysia (WMMY) 2024 yang dijadual berlangsung pada 9 Mac ini.
Semalam WMMY mendakwa pihaknya berusaha empat kali, pada 2 dan 3 Mac, untuk memohon kebenaran mengadakan perhimpunan namun ditolak tanpa sebarang alasan.
WMMY diadakan setiap tahun sempena Hari Wanita Sedunia. Tahun ini perhimpunan itu dijadual diadakan pada Sabtu ini berdekatan pusat beli-belah Sogo di Kuala Lumpur.
Permit tidak lagi diperlukan untuk perhimpunan selepas Akta Perhimpunan Aman 2012 diwartakan bagi menggantikan Seksyen 27, 27A, 27B dan 27C Akta Polis 1967.
Seksyen 9(1) menyatakan penganjur perlu memaklumkan pegawai yang bertanggungjawab dalam daerah polis di mana himpunan akan diadakan, lima hari sebelum himpunan tersebut diadakan.