
Pengerusinya, Zahid Hamidi yang juga timbalan perdana menteri berkata, kerusi-kerusi itu juga sebelum ini disandang oleh Ahli Parlimen BN.
“Kita akan mengadakan perundingan dengan kepimpinan kerajaan perpaduan untuk menentukan (pencalonan) jika ada pengosongan kerusi itu.
“Pasti perundingan untuk mendapatkan semula kerusi tersebut akan memberi keutamaan kepada calon-calon Umno dan BN,” katanya pada sidang media selepas program Mini Showcase anjuran Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Bagaimanapun, Zahid berkata, beliau percaya Peraturan Parlimen dan Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan kerusi Ahli Parlimen Bersatu berkenaan boleh dikosongkan biarpun terdapat usaha daripada Bersatu supaya ia berlaku.
Katanya, pindaan perlembagaan Bersatu nampaknya seperti pembalasan kepada tindakan seorang daripada pemimpinnya yang membawa masuk Ahli Parlimen Umno untuk menyertai parti berkenaan.
“Kini tanpa sebarang usaha pun daripada pihak Umno dan BN, kita lihat enam (Ahli Parlimennya) telah bersama menyokong perdana menteri,” kata presiden Umno itu.
Semalam, media melaporkan enam kerusi Parlimen milik Bersatu dijangka dikosongkan sekiranya wakil rakyat masing-masing kekal dengan pendirian menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Ini susulan pindaan ke atas Fasal 10 Perlembagaan Bersatu yang diluluskan dalam perhimpunan agung khas parti itu semalam.
Pindaan itu akan menyebabkan keahlian mana-mana wakil rakyatnya terlucut serta-merta jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.
Bagaimanapun, pelaksanaan pindaan itu tertakluk kepada kelulusan daripada Jabatan pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata, parti itu akan menghantar laporan mengenai pindaan itu kepada JPPM terlebih dahulu untuk mendapat kelulusan sebelum dikuatkuasakan.
Sekiranya semua enam kerusi itu dikosongkan, pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan.
Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada perdana menteri terdiri daripada Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Zahari Kechik (Jeli); Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).