40% daripada 17 juta tenaga kerja tak dilindungi KWSP

40% daripada 17 juta tenaga kerja tak dilindungi KWSP

Majoriti pekerja yang tidak dilindungi berada dalam sektor tidak formal, seperti pekerja gig, kata CEO KWSP Ahmad Zulqarnain Onn.

KWSP hari ini mengisytiharkan dividen sebanyak 5.5% untuk simpanan konvensional dan 5.4% untuk akaun syariah, kedua-duanya lebih tinggi berbanding tahun lepas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Hanya 60% atau 10.2 juta daripada 17 juta tenaga kerja mendapat perlindungan persaraan menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata ketua pegawai eksekutifnya (CEO) Ahmad Zulqarnain Onn yang menyifatkan kadar itu “membimbangkan”.

Zulqarnain berkata, angka itu juga rendah jika dibandingkan dengan purata global sebanyak 68%.

Sebagai perbandingan, hanya 49% daripada tenaga kerja di Thailand dan 43% di Vietnam dilindungi, menurut data KWSP.

“Majoriti tenaga buruh yang tidak dilindungi ini adalah tenaga pekerja tidak formal termasuk pekerja bebas dan mereka yang bekerja sendiri seperti pekerja gig,” katanya, lapor Astro Awani.

Menurut data KWSP, pekerja yang mendapat gaji minimum RM1,500 dengan kenaikan gaji tahunan sebanyak 3% akan dapat menyimpan RM479,000 apabila mencapai usia 55 tahun.

Daripada 4.1 juta pekerja dalam sektor tidak formal, 3 juta mempunyai akaun individu, manakala 582,000 ialah pemilik perniagaan. Baki 494,000 lagi terdiri daripada pekerja keluarga tidak berbayar.

Zulqarnain berkata, trend peningkatan “drastik” dalam sektor gig akan menyebabkan tenaga kerja dalam sektor tidak formal meningkat kepada 33% menjelang 2040, daripada 26% pada masa ini.

Tenaga kerja dalam sektor formal pula dijangka menurun kepada 37% dalam tempoh 16 tahun akan datang, daripada 42% pada masa ini.

Zulqarnain berkata, keadaan itu membimbangkan memandangkan Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang 2043 dan negara sangat tua menjelang 2057.

“Kadar kelahiran yang menurun iaitu 1.6% pada 2023 juga akan merancakkan kepantasan negara ke arah mencapai status negara tua,” katanya.

“Pada 2043, dianggarkan 14% atau 39.9 juta penduduk Malaysia berusia 60 tahun dan ke atas, manakala kadar kelahiran menurun kepada 6.6 juta bayi.”

Zulqarnain berkata, berdasarkan trajektori semasa, Malaysia mengalami penuaan pada kadar lebih cepat berbanding negara maju seperti United Kingdom, Perancis dan Australia.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menyediakan prasarana, perkhidmatan dan pekerjaan untuk menyokong fenomena ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.