Putrajaya perlu wujud ekosistem lonjak ekonomi Bumiputera Sabah, Sarawak

Putrajaya perlu wujud ekosistem lonjak ekonomi Bumiputera Sabah, Sarawak

Timbalan Premier Sarawak, Awang Tengah Ali Hasan menyeru insentif khas seperti modal teroka dibentuk bagi membangunkan ekonomi tempatan.

Awang Tengah Ali Hasan berkata, dasar lebih holistik, pragmatik dan kerangka kawal selia perlu diwujudkan dan pentadbiran serta pengurusan perlu dipermudahkan.
PUTRAJAYA:
Kerajaan persekutuan digesa mewujudkan ekosistem dapat melonjakkan penglibatan Bumiputera Sarawak dalam bidang keusahawanan dan ekonomi.

Timbalan Premier Sarawak, Awang Tengah Ali Hasan berkata, bagi tujuan itu, dasar lebih holistik, pragmatik dan kerangka kawal selia perlu diwujudkan dan pentadbiran serta pengurusan perlu dipermudahkan.

“Ini termasuklah untuk memudahkan dan menyelaras segala bentuk bantuan, memudahkan pengurusan perniagaan dan mengurangkan karenah birokrasi serta desentralisasi kelulusan permohonan pembiayaan,” katanya yang mewakili Premier Sarawak, Abang Johari Openg pada majlis penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Beliau turut menyeru insentif khas seperti modal teroka dibentuk untuk diuruskan Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) bagi membangunkan ekonomi tempatan.

Katanya, insentif pinjaman mudah, subsidi, jaminan pinjaman dan geran juga patut disediakan, khususnya bagi usahawan baharu menceburi perniagaan, selain membantu penyediaan premis perniagaan, latihan dan kemahiran serta akses pemasaran.

“Ini akan membantu usahawan Bumiputera Sarawak menembusi pasaran lebih luas dan berupaya memenuhi syarat dan peraturan seperti Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP), Sijil Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Pensijilan Halal.”

Menteri perdagangan antarabangsa, industri dan pelaburan Sarawak itu menegaskan dasar juga perlu digubal, terutamanya membabitkan beberapa komponen projek besar dan dibiayai kerajaan persekutuan dapat di “Carve Out and Compete” dalam kalangan kontraktor Bumiputera Sarawak bermula daripada peringkat perancangan sehinggalah pelaksanaan.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor menekankan dasar hala tuju Sabah untuk memperkasa sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan di negeri itu.

Katanya, ia senada tiga ikhtiar disyorkan KEB 2024 bagi melonjakkan ekonomi Bumiputera dengan mewujudkan perbadanan tanah Bumiputera, wakaf pendidikan, kesihatan dan kebajikan serta mengindustrikan pertanian.

Bagaimanapun, beliau mengakui faktor geografi salah satu halangan menyumbang kepada proses pembangunan lambat di negeri itu.

“Ia bukan saja menghambat pertumbuhan ekonomi dan melewatkan proses pembangunan, tetapi juga membatasi aktiviti ekonomi serta sosial masyarakat Bumiputera, terutama di pedalaman.”

Beliau berkata, pembangunan rangkaian infrastruktur juga penting, terutamanya dalam meningkatkan perhubungan antara kawasan pedalaman dan pusat bandar.

Katanya, pembangunan infra ini bukan saja menyokong ekonomi akar umbi Bumiputera di Sabah, tetapi juga meletakkan asas kepada model pembangunan lebih inklusif dan mampan untuk komuniti itu.

“Justeru, saya percaya dengan memperkasakan ekonomi Bumiputera di Sabah melalui penyediaan latihan, pendidikan berkualiti, peningkatan literasi digital dan kewangan, serta melengkapi kemahiran diperlukan, di samping kemudahan infrastruktur sebagai keperluan asas, akan membolehkan mereka mampu bersaing di peringkat nasional, kalaupun tidak di pentas global.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.