
Beliau berkata, pihaknya akan mengambil pendirian “tunggu dan lihat”.
Syed Hussin turut menyeru Ahli Parlimen Bersatu yang ingin menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim meneruskan niat itu.
“Sebab setakat pindaan (diluluskan), dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) tidak putuskan lagi, ia tidak akan jadi peraturan.
“Masih ada tanda soal, belum jelas lagi. Kita biarkan proses berjalan,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, dilaporkan usul pindaan dibuat Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu pada perhimpunan agung khas hari ini disokong sebulat suara perwakilan.
Pindaan dibentangkan itu, susulan tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu mengalih sokongan kepada Anwar tahun lalu, selari Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, merujuk kepada Akta Anti Lompat Parti.
Selain Syed Hussin, Ahli Parlimen Bersatu lain yang menyatakan sokongan kepada Anwar adalah Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).
Dalam pada itu, Syed Hussin berkata, beliau akan menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada mereka perlu mengosongkan kerusi masing-masing.
“Mahkamah tempat terakhir untuk kita buat keputusan. Tafsiran di mahkamah (belum tahu) macam mana,” katanya.
Beliau turut menegaskan tidak akan menarik balik sokongan kepada perdana menteri walaupun pindaan perlembagaan Bersatu diluluskan JPPM.
Sementara itu, Suhaili dan Zulkafperi masing-masing berkata, mereka juga tidak akan mengosongkan kerusi sehingga mahkamah mencapai keputusan.
Suhaili berkata, beliau sama sekali tidak akan menarik balik sokongan kepada Anwar dan yakin pengundinya di Labuan mendukung keputusannya menyokong perdana menteri kerana mendapat manfaat daripadanya.
“Saya takkan tarik balik sokongan kepada perdana menteri. Penduduk di kawasan saya tidak berontak saya sokong perdana menteri,” katanya.