
Rafizi berkata, beliau khuatir jika fokus hanya diberikan kepada pegangan ekuiti komuniti itu, kerajaan akan melakukan kesilapan dalam membangunkan dasar untuk membantu Bumiputera.
“Kalau dilihat dari perspektif lebih besar sebenarnya (pembangunan Bumiputera) itu membanggakan dan kita perlukan keyakinan itu, kita tak perlu kalau secara berterusan kita rasa kita tak pernah capai sasarannya.
“Jadi kalau kita berterusan polemik sama ada kita berjaya atau tidak Bumiputera melihat kepada pemilikan 30% semata-mata. Ia boleh jadi ‘self defeating’,” katanya pada sidang media selepas sesi soal jawab sempena Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Beliau berkata, trend pemilikan ekuiti juga sudah berubah sejak sasaran itu ditetapkan lebih lima dekad lalu.
“Jadi kita juga kena ambil kira bahawa trend pemilikan atau kaedah untuk membeli ekuiti itu telah berubah berbanding dengan 20 atau 30 tahun lepas.
“…dan kita juga ada kecenderungan yang mana pelabur-pelabur sekarang lebih gemar menggunakan ‘penama’ dan undang-undang kita membenarkan penama,” kata Rafizi.
Dengan penyertaan pelabur asing juga katanya terdapat kesukaran menentukan sama ada sesebuah syarikat itu berstatus Bumiputera.
“Ada syarikat yang dilihat sebagai Bumiputera kerana ia daripada atas itu CEO…presiden sampai ke bawah semua Bumiputera tapi atas kertasnya bukan Bumiputera sebab dia GLC contohnya, jadi bergantung kepada definisi,” katanya.
Sehubungan itu, Rafizi berkata pendekatan perlu berubah kepada penciptaan Bumiputera yang terlibat dalam penciptaan dan penguasaan memberikan nilai.
“Kalau kita hanya melihat kepada apa yang dikata tidak pernah mencapai 30% pemilikan ekuiti, perbincangan akan menutup kita daripada perkara penting termasuk bagaimana meningkatkan kawalan pengurusan.
“Bagaimana kita mahu melihat lebih ramai Bumiputera terlibat dalam penyertaan dan penciptaan nilai itu dan sebagainya,” katanya.