Cuba sogok polis RM200 ketika SJR, lelaki Pakistan ditahan

Cuba sogok polis RM200 ketika SJR, lelaki Pakistan ditahan

Lelaki berusia 30-an yang didapati tidak memiliki GDL itu direman 6 hari bagi membantu siasatan bawah Akta SPRM 2009.

Lelaki warga Pakistan berusia 30-an itu ditahan ketika SJR di Tumpat awal pagi tadi kerana cuba menyogok polis agar tidak dikenakan tindakan undang-undang.
KOTA BHARU:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lelaki warga Pakistan disyaki cuba menyogok anggota polis di sekatan jalan raya di Tumpat awal pagi tadi.

Menurut sumber, lelaki berusia 30-an itu ditahan pada 1.20 pagi ketika memandu sebuah van, yang turut dinaiki seorang rakan senegaranya.

“Ketika ditahan, lelaki berkenaan cuba menyogok anggota polis bertugas sebanyak RM200 sebagai dorongan agar tidak diambil tindakan undang-undang.

“Lelaki itu didapati tidak memiliki lesen kenderaan barangan (GDL) dan menyalahgunakan pas perjalanan,” kata sumber itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan Rosli Husain ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Beliau berkata, Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini telah membenarkan lelaki itu direman enam hari untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.