
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun yang juga Komander Operasi Shahrizal Shamsudin berkata, dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, Mohammad Atiff Farrdugi Zainudin, 11, dan Muhammad Danish Mikail Abdullah, 9, ditemui lemas, manakala Ahmad Azril Farhan Mat Zain, 11, selamat.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.22 petang tadi dan 22 anggota dari BBP Dungun, Chukai dan Kuala Berang bergegas ke lokasi bersama tiga jentera.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, kita terima maklumat orang awam bahawa tiga kanak-kanak tersebut mandi di pantai sebelum dua daripadanya disyaki lemas dan seorang selamat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Atiff Farrdugi ditemui pada 4.55 petang, disusuli Danish Mikail pada 6.24 petang, masing-masing pada jarak kira-kira 150m dan 300m dari lokasi mereka disyaki lemas.
Katanya, dua mayat itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi pencarian ditamatkan pada 6.50 petang tadi.