
Beliau berkata, perkara itu menjadi faktor syarikat berkenaan mengambil kesempatan untuk tidak mahu membayar jaminan pemulihan aset berjumlah USD1.4 bilion kepada kerajaan Malaysia.
“Pada 2020, kita buat ‘settlement’ dulu, kita dibayar USD2.5 bilion kemudian dijanjikan nak bayar lagi USD1.4 bilion (pemulihan aset) tetapi perjanjian dibuat itu tidak terperinci,” katanya.
“Jadi, mereka (Goldman Sachs) ambil kesempatan tidak mahu bayar sebab cakap kita dah kutip melalui Ambank, iaitu denda sejumlah USD640 juta, jadi ditolak USD1.4 bilion itu. Kemudian, kita dah dapat lebih kurang dalam USD430 juta daripada DOJ (Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat).
“Selepas itu, Goldman Sachs tolak ‘settlement’ kita dengan IPIC (International Petroleum Investment Company), kemudian katanya dah selesai, jadi kenapa syarikat itu perlu bayar USD1.4 bilion? Kita kata tidak, USD1.4 bilion itu ialah pemulihan, bukannya denda. Ada pertikaian di situ kerana perjanjian tidak jelas.”
Sebelum ini, Johari dilaporkan berkata perjanjian penyelesaian yang ditandatangani pada Ogos 2020 antara kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs memerlukan syarikat itu membayar bayaran tunai USD2.5 bilion dan memberikan jaminan pemulihan aset sebanyak USD1.4 bilion kepada kerajaan Malaysia.

Mengulas lanjut, Johari yang juga menteri perladangan dan komoditi berkata setakat ini, pasukan petugas masih dalam proses mendapatkan arbitrasi atau timbang tara sebagai usaha menyelesaikan perkara itu.
Menurutnya, proses untuk memperoleh pemulihan aset USD1.4 bilion itu juga akan mengambil masa kerana bergantung kepada keputusan Goldman Sachs sama ada mahu melawan tuntutan kerajaan Malaysia berhubung perkara itu menerusi prosiding undang-undang.
1MDB membayar yuran khidmat nasihat yang terlalu tinggi sebanyak USD606 juta kepada Goldman Sachs bagi nasihat membabitkan terbitan tiga bon berjumlah USD6.5 bilion.
Penglibatan secara langsung Goldman Sachs dalam skandal 1MDB telah menyaksikan syarikat itu didenda oleh pelbagai pihak pengawal selia, termasuk Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, berjumlah USD2.9 bilion.
Jumlah denda dibayar Goldman Sachs melebihi bayaran tunai yang dibuat kepada kerajaan Malaysia (USD2.5 bilion), walaupun Malaysia mengalami kesan terbesar daripada skandal 1MDB apabila perlu membayar sebanyak USD6.5 bilion (jumlah prinsipal) serta faedah kira-kira USD3.2 bilion dalam tempoh 10 tahun untuk melunaskan hutang 1MDB.
Pertikaian pada masa ini tertumpu kepada cubaan Goldman Sachs untuk mengimbangi denda yang dikenakan terhadap AMMB Holdings Bhd (RM2.8 bilion) serta perjanjian penyelesaian dengan IPIC (USD1.8 bilion) terhadap jaminan pemulihan aset bernilai USD1.4 bilion.
Goldman Sachs menyatakan bahawa obligasinya bawah jaminan pemulihan aset telah dilepaskan melalui usaha itu.
Bagaimanapun, kerajaan Malaysia mempertikaikan perkara itu dan menegaskan bahawa denda yang dikenakan terhadap Ambank serta penyelesaian dengan IPIC tidak termasuk dalam skop jaminan pemulihan aset bernilai USD1.4 bilion.