
Hakim Azman Abdullah ketika membaca alasan ringkas berkata, rayuan itu tiada merit kerana hakim perbicaraan membuat keputusan yang tepat mensabitkan Yong atas kesalahan itu.
Katanya, hakim perbicaraan juga tepat ketika menegaskan bahawa pembelaan perayu merupakan sesuatu yang difikirkan kemudian dan bersifat penafian semata-mata.
Hakim Hadhariah Syed Ismail, yang mengetuai panel tiga hakim, dalam kalangan majoriti, manakala Hakim SM Komathy Suppiah membuat penghakiman bertentangan.
Komathy berkata, beliau membenarkan rayuan itu kerana keterangan mangsa tidak boleh dipercayai.
“Tambahan, Yong tidak mendapat perbicaraan yang adil kerana pihak pembelaan tidak dibenarkan memerhatikan gelagat dan gerak geri mangsa semasa memberikan keterangan,” katanya.
Majoriti hakim mengurangkan hukuman penjara 13 tahun Yong kepada lapan tahun, namun mengekalkan dua sebatan.
Panel hakim turut membenarkan hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati Yong, 53, bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun dalam bilik di rumahnya di Ipoh, Perak antara 8.15 dan 9.15 malam, 7 Julai 2019.