Industri perkayuan dijangka meningkat tahun ini

Industri perkayuan dijangka meningkat tahun ini

Industri kayu dan produk kayu dijangka meningkat berikutan unjuran pertumbuhan ekonomi AS yang lebih baik.

Industri perabot sebahagian besarnya berorientasikan eksport, dengan 44% daripada eksport kayu ke 186 negara. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Industri kayu dan produk kayu dijangka meningkat tahun ini berikutan unjuran pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lebih baik, iaitu destinasi utama bagi eksport perabot.

Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani berkata prestasi industri ini menyusut sejak dua tahun lepas, namun kerajaan komited untuk menyokong kemampanan dan pertumbuhannya.

“Untuk 2024, kami yakin eksport perabot akan kembali kepada posisi asalnya,” katanya selepas merasmikan Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) 2024.

Terdahulu dalam ucapannya, Johari berkata industri kayu dan perabot tidak terlepas daripada impak cabaran global, dengan eksport kayu dan produk kayu berkurangan sebanyak 13.2% kepada RM21.9 bilion pada 2022 dan eksport perabot susut 18.1% kepada RM9.1 bilion tahun lepas.

“Ini sebahagian besarnya berikutan kemerosotan terhadap permintaan perumahan di AS, iaitu pembeli terbesar perabot Malaysia, yang menyumbang lebih separuh daripada eksport perabot,” katanya.

Industri perabot sebahagian besarnya berorientasikan eksport, dengan 44% daripada eksport kayu ke 186 negara sepanjang lima tahun lepas.

Johari berkata kerajaan membelanjakan hampir RM1 bilion untuk Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) dan menyediakan pinjaman mudah kepada 88 syarikat untuk projek penanaman semula.

“Ia sebagai usaha penghutanan semula melibatkan 142,000 hektar, termasuk 75,000 hektar di Semenanjung, Sabah (37,000 hektar) dan Sarawak (35,000 hektar). Pembangunan ini berterusan dan dijangka membuahkan hasil dalam tempoh tujuh hingga 15 tahun akan datang,” kata Johari.

Beliau berkata kerajaan akan terus memastikan penggiat industri dapat mematuhi piawaian antarabangsa memandangkan kebimbangan dunia pada masa ini terhadap penebangan hutan.

“Industri perabot mesti terus bekerjasama erat dengan kementerian dan agensinya seperti Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) dan Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) untuk memperkemas rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam industri untuk menyelaraskan elemen pemuliharaan dan perindustrian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.