
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Hanipah Farikullah memutuskan bahawa rayuan itu tidak sah kerana perkara itu tidak boleh dirayu.
“Kedua-dua pihak bersetuju semasa hujahan bahawa perkara ini tidak boleh dirayu di bawah Seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman,” katanya.
Dua lagi panel yang mendengar rayuan itu adalah Hakim Azimah Omar dan Wong Kian Kheong.
Mahkamah juga mengarahkan Shafee membayar kos RM10,000 kepada LHDN.
Shafee diwakili peguam Rajan Navaratnam, Farhan Shafee dan Wee Yeong Kang manakala Peguam Kanan Hasil, Al-Hummidallah Idrus, Norhisham Ahmad, Norzilah Hamood dan Faqrol Syazreen Ghause mewakili LHDN.
Rajan kemudian memberitahu wartawan bahawa Shafee berhak untuk mengemukakan tuntutan baru.
Pada 13 April lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain menolak permohonan Shafee untuk memfailkan tuntutan balas dalam saman LHDN itu.
Shafee berhujah bahawa pemfailan saman itu dilakukan dengan niat jahat dan merupakan serangan kolateral terhadapnya kerana mempertahankan bekas perdana menteri Najib Razak.
Bagaimanapun, Roz Mawar berkata tuntutan balas Shafee adalah terhadap pihak seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara, yang bukan sebahagian daripada pihak yang menyaman.
Katanya, Shafee boleh membawa perkara itu terhadap kedua-dua agensi berkenaan dalam prosiding lain.
Pada 2021, LHDN memfailkan saman terhadap Shafee atas dakwaan tunggakan cukai sebanyak RM9.41 juta.
Pada 21 Dis, Roz Mawar membuat penghakiman terus dengan memerintahkan Shafee supaya membayar tunggakan cukai pendapatan lebih RM5.5 juta kepada LHDN untuk cukai taksiran antara 2011 hingga 2016.