Projek LCS lewat 86 hari, kata ketua PAC

Projek LCS lewat 86 hari, kata ketua PAC

Mas Ermieyati Samsudin berkata, kadar kemajuan projek itu pada 67.28% berbanding jadual garis masa baharu 68.7%.

Mas Ermieyati bimbang kegagalan memuktamadkan reka bentuk terperinci kapal tempur pesisir (LCS) dengan kontraktor pertahanan Perancis, Naval Group.
KUALA LUMPUR:
Projek kapal tempur pesisir (LCS) berdepan kelewatan 86 hari setakat Disember lalu, dedah Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Pengerusi PAC, Mas Ermieyati Samsudin berkata, jawatankuasa itu bimbang dengan kegagalan memuktamadkan reka bentuk terperinci dengan kontraktor pertahanan Perancis, Naval Group, yang ditugaskan untuk membantu pembinaan enam kapal.

“Kebimbangan utama kami ialah pembinaan LCS terus lewat, dengan Kementerian Pertahanan mendedahkan kemajuannya mencapai 67.28% berbanding jadual garis masa baharu 68.7%,” katanya dalam sidang media di Parlimen.

Bulan lalu, Mas Ermieyati dilaporkan berkata, kelewatan dalam pembinaan LCS memerlukan pemantauan kemajuan yang teliti serta berkala.

Tetapi, katanya, tempoh kelewatan pembinaan LCS tidak dapat didedahkan bagi mematuhi Peraturan Mesyuarat 85 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Menurut laporan penuh PAC ke atas penemuan LCS setakat ini, kontraktor mendedahkan reka bentuk terperinci kapal itu siap 94.75% oleh sebuah pasukan tempatan di Lumut, manakala bahagian yang diluluskan Naval Group di Perancis mencapai 85%.

PAC berkata, masalah itu memerlukan perhatian segera dan perlu diselesaikan menjelang Ogos ini.

Dalam perkembangan berasingan, Mas Ermieyati turut mengumumkan PAC memulakan prosiding pada Isnin lalu ke atas projek Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) yang diselia Kementerian Kerja Raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.