Kerajaan tak berhasrat teliti semula anggota jawatankuasa khas kompetensi DUN

Kerajaan tak berhasrat teliti semula anggota jawatankuasa khas kompetensi DUN

Anggota jawatankuasa itu dalam kalangan mereka yang mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang undang-undang dan Perlembagaan.

Bekas ketua hakim negara Zaki Azmi mengetuai Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Dengan Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan tidak berhasrat untuk meneliti semula keanggotaan Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Dengan Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Menjawab pertanyaan dari Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar, berkata individu yang dipilih untuk menganggotai jawatankuasa itu dalam kalangan mereka yang mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang undang-undang sivil, syariah, dan Perlembagaan.

“Jawatankuasa khas boleh menjemput individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu dari semasa ke semasa mengikut keperluan, untuk memberikan pandangan terhadap isu yang dibincangkan di peringkat jawatankuasa khas bagi memastikan setiap kajian yang dibuat lebih menyeluruh dan mengambil kira semua faktor yang berkaitan termasuklah perundangan dan hukum syarak,” katanya di sesi kamar khas.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Ahmad Yahya (PN-Pokok Sena) bertanyakan apakah kerajaan akan meneliti semula keanggotaan jawatankuasa itu, untuk turut melibatkan pihak yang berkepentingan dalam petisyen dua peguam berkaitan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan.

Pada 9 Feb lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam enakmen tersebut terbatal dan tidak sah, kerana DUN membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Ahmad menyenaraikan pihak berkepentingan dalam kes itu seperti majlis agama Islam negeri-negeri, peguam yang mewakili kerajaan Kelantan, serta bekas hakim atau pengamal perundangan yang pernah terlibat dalam kajian berkaitan harmonisasi bidang kuasa mahkamah sivil dan syariah.

“Saya percaya dengan pengalaman yang luas dalam bidang kepakaran masing-masing, anggota jawatankuasa khas ini mampu mencari satu jalan penyelesaian yang terbaik dan harmoni bagi menyelesaikan isu yang berbangkit mengenai kompetensi DUN untuk menggubal undang-undang Islam dan bidang kuasa mahkamah Syariah di bawah Butiran 1 Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan daripada berterusan,” kata Na’im.

Bekas ketua hakim negara, Zaki Azmi merupakan pengerusi jawatankuasa yang turut dianggotai oleh bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Mohd Zawawi Salleh; anggota Majlis Agama Islam Selangor, Salehuddin Saidin; dan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Melaka, Mohd Nadzri Abdul Rahman.

Na’im memaklumkan bahawa jawatankuasa itu mula bekerja sebaik sahaja watikah pelantikan diserahkan, dan telah bermesyuarat sebanyak sembilan kali bermula 5 Dis lepas.

Jawatankuasa khas ini akan melaksanakan kajian mengenai isu konflik bidang kuasa antara mahkamah syariah dengan mahkamah sivil secara menyeluruh dan tidak hanya memberi fokus kepada isu kompetensi DUN untuk menggubal undang-undang Islam sahaja, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.