KEB2024 lebih inklusif, libatkan semua atasi ‘masalah sama’

KEB2024 lebih inklusif, libatkan semua atasi ‘masalah sama’

Seorang anggota Dewan Perniagaan India Kuala Lumpur dan Putrajaya berkata usaha mengembangkan ekonomi perlu penglibatan semua pihak.

Sasaran KEB2024 diacu pada sektor baharu, trend mega, dan pasaran antarabangsa, menurut seorang peserta.
PUTRAJAYA:
Dewan Perniagaan India Kuala Lumpur dan Putrajaya menyifatkan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 lebih inklusif dan melibatkan semua pihak bagi menangani ‘masalah sama’.

Seorang anggotanya, AT Kumararajah, berkata isu-isu yang dibincangkan pada KEB2024 turut dihadapi komunitinya.

AT Kumararajah.

“Kita kaum India faham kelemahan dan kesusahan orang Melayu. Kita ada masalah sama cuma dalam skala berlainan,” katanya kepada FMT, ketika ditemui di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), petang tadi.

Mengambil contoh isu kemiskinan, beliau berkata penyelesaian dan cara perkara ini diperhalusi serta penelitian isu itu “seakan sama”.

“Dalam KEB kali ini, takkan ada kaum terasa ditinggalkan, itu yang penting,” katanya.

Kumararajah menyambut baik pendekatan inklusif memandangkan usaha mengembangkan ekonomi memerlukan penglibatan semua pihak.

“Tekad untuk memacu ekonomi kepada satu tahap lebih tinggi mesti dilakukan bukan sahaja Bumiputera yang majoriti tetapi juga semua,” katanya.

Beliau menambah sasaran KEB kali ini nampaknya diacu pada sektor baharu, trend mega, dan pasaran antarabangsa, berbanding berkenaan institusi seperti Majlis Amanah Rakyat, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga, dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad.

“Kita tak boleh lagi jadi jaguh kampung, selain rantau Asean tapi dunia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.