
Timbalan Pengarahnya, Sharmanrizal Rustam, berkata serbuan yang dilakukan kira-kira 4 petang hingga 3 pagi oleh 12 anggota berjaya menahan pendatang asing warga Bangladesh, Indonesia, Pakistan, Vietnam, Myanmar, Laos dan Thailand.
“Sebanyak 36 individu adalah lelaki termasuk seorang warga tempatan manakala 36 adalah perempuan yang ditahan dalam pemeriksaan yang dilakukan terhadap 133 individu di 10 premis yang menjalankan pelbagai perniagaan di sekitar Ipoh dan Enggor.
“Tangkapan dibuat bagi membanteras dan mengekang kemasukan pelancong asing yang menyalahgunakan kemudahan pas lawatan yang diberikan serta melanggar peraturan-peraturan Imigresen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata ke semua warga asing berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen1959/63; Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen1959/63; Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963; Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Pasport 1966.
“Siasatan juga akan dilakukan ke atas pemilik kediaman dan pemilik premis perniagaan yang membenarkan pendatang tanpa izin berada di dalam premis mereka.
“JIM juga akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan-majikan atau individu-individu yang menggaji atau melindungi pendatang tanpa izin termasuk pendakwaan di mahkamah,” katanya.
Selain itu, beliau berkata pihaknya turut mengalu-alukan kerjasama masyarakat terutama dalam menyalurkan maklumat bagi mengekang kebanjiran warga asing khususnya di Perak.