Pembangkang akui kejatuhan ringgit tak selesai sekelip mata bak kasut ‘Cinderella’

Pembangkang akui kejatuhan ringgit tak selesai sekelip mata bak kasut ‘Cinderella’

Fadhli Shaari bagaimanapun mempersoalkan janji Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan masalah rakyat ketika di blok pembangkang.

Ahmad Fadhli Shaari berkata kritikan terhadap Putrajaya kini dalam isu kejatuhan nilai ringgit kerana janji dibuat Anwar Ibrahim sebelum ini.
KUALA LUMPUR:
Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengakui sukar untuk kerajaan mengatasi isu kejatuhan nilai ringgit dengan segera, namun menjelaskan kritikan terhadap Putrajaya kerana janji dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Saya setuju mana-mana jadi kerajaan isu ringgit ini tidak boleh nak baiki secara semalaman. Kita bukan ada kasut ‘Cinderella’ untuk berubah sekelip mata.

“Kita bukan ada tongkat Nabi Musa untuk membelah laut. Betul…tetapi persoalan kita hadapi kini berdepan dengan seorang perdana menteri yang sebelum ini menjanjikan macam-macam pada rakyat,” katanya dalam perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat.

Fadhli yang juga ketua penerangan PAS turut menolak hujah Anwar, Ahad lalu yang menyatakan bukan hanya nilai ringgit jatuh kerana mata wang Jepun (yen), China (renminbi) dan negara Asean lain juga mengalami penurunan.

Mengakui kejatuhan mata wang Jepun dan China itu, Fadhli bagaimanapun menegaskan nilainya masih sama ketika Anwar berkempen sebagai pembangkang pada PRU15.

“Hari ini RM1 bersamaan 31.54 Yen. Nilai ini sama sahaja pada 21 Oktober 2022 iaitu RM1 bersamaan 31.52 Yen.

“Mata wang China atau Yuan hari ini, RM1 bersamaan 1.51 Yuan. Pada 21 OKtober 2022 nilai RM1 bersamaan 1.55 Yuan. Maknanya tidak banyak berubah,” katanya.

Fadhli turut membidas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang sebelum ini menyerang bekas perdana menteri Najib Razak dalam isu ringgit.

“Dulu Menteri Ekonomi (Rafizi) menyatakan untuk pastikan ringgit tak jatuh, jangan ikat ringgit tapi ikat Najib.

“Sekarang saya nak tanya, siapa yang nak kena ikat sekarang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.