
Ketua Pengarah Imigresen, Ruslin Jusoh berkata, 10 individu termasuk seorang lelaki dikenali Ali yang berketurunan etnik Rohingya dan dipercayai dalang utama sindiket itu serta dua lagi disyaki tekong darat, ditahan dalam operasi kira-kira 1 pagi.
Menurutnya, serbuan itu hasil risikan Pasukan Taktikal Khas Imigresen (PASTAK) Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan Kelantan susulan penahanan “Geng Bob” pada 3 Feb lepas.
Katanya, pasukan operasi mengesan sebuah Perodua Kelisa dipercayai dipandu tekong darat, sebelum ia berhenti di stesen minyak dekat Wakaf Che Yeh.
“Menyedari kenderaannya dihampiri pihak berkuasa, suspek memecut kenderaan dan berlaku pelanggaran kecil dengan kenderaan pasukan operasi, tindakan pantas PASTAK berjaya menahan Ali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ruslin berkata, pemeriksaan lanjut dalam kereta itu menemui tiga wanita dan seorang lelaki Myanmar berumur 19 dan 21 tahun, yang dipercayai berhenti di sebuah stesen minyak dijadikan lokasi menunggu bas ekspres sebelum dihantar ke Kuala Lumpur.
Susulan penahanan itu, suspek membawa pihak berkuasa ke sebuah rumah dipercayai kediaman Ali dan menemui sepucuk pistol angin, sebelum menyerbu sebuah rumah lagi di Pengkalan Kubor, Kota Bharu.
“Seorang lagi lelaki berketurunan Rohingya dikenali sebagai Rahim disyaki orang kanan Ali ditahan bersama empat lagi lelaki Myanmar berumur 16 dan 27 tahun, manakala sebuah Perodua Viva turut dirampas.”
Katanya, modus operandi sindiket itu ialah membawa masuk pendatang tanpa izin warga Myanmar melalui laluan haram di sempadan pada waktu malam, ditempatkan di rumah transit sebelum dipindahkan ke ibu kota menggunakan bas ekspres bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Beliau berkata, sindiket itu dipercayai beroperasi selama enam bulan dan mengenakan bayaran antara RM500 dan RM1,000 bagi setiap pendatang tanpa izin.
“Pihak imigresen percaya dengan tertangkapnya dua tekong ini, satu lagi sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin yang aktif di Kelantan ditumpaskan.”
Dua minggu lalu, media melaporkan rangkaian sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin dikenali “Geng Bob” yang aktif di negeri sama berjaya ditumpaskan.