Persidangan SEACETUS2024 berlangsung di KL bermula 5 Mac

Persidangan SEACETUS2024 berlangsung di KL bermula 5 Mac

Persidangan dan pameran terowong dan ruang bawah tanah itu berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Peserta Persidangan dan Pameran Terowong dan Ruang Bawah Tanah Asia Tenggara 2024 itu juga dijangka akan membuat lawatan tapak ke terowong Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persidangan dan Pameran Terowong dan Ruang Bawah Tanah Asia Tenggara 2024 (SEACETUS2024) akan diadakan dari 5 hingga 7 Mac di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Bertemakan “Inovasi dan Pembangunan Ruang Bawah Tanah yang Mampan”, persidangan ini dianjurkan oleh Institut Jurutera Malaysia dan disokong oleh Persatuan Terowong Antarabangsa dan Ruang Bawah Tanah (ITA-AITES).

“Acara ini bertujuan untuk menentukan semula standard industri dan mengilhami penyelesaian baharu,” kata jawatankuasa publisiti SEACETUS2024 dalam satu kenyataan.

Persidangan itu juga dijadualkan meneroka teknologi, teknik, dan amalan terbaik terkini yang membentuk masa depan pembangunan ruang bawah tanah.

Sesi itu juga akan merangkumi topik seperti kelestarian alam sekitar, pengurusan risiko, dan pemodelan maklumat.

“Terokai peluang perkongsian pengetahuan dan peluang rangkaian dalam persidangan dua hari ini yang menampilkan barisan pakar tempatan dan antarabangsa.

“SEACETUS2024 mengumpulkan tokoh dan pakar dari Singapura, Thailand, Taiwan, China, Korea Selatan, Australia, Jerman, dan ramai lagi, bagi mendorong kerjasama rentas sempadan dan inovasi untuk menangani cabaran industri,” kata jawatankuasa itu.

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi dijangka menghadiri acara tersebut manakala ucapan utama akan disampaikan oleh Presiden ITA-AITES, Arnold Dix.

Persidangan turut merangkumi lawatan tapak ke sama ada Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) atau loji rawatan kumbahan bawah tanah Pantai 2 pada hari terakhir, untuk mempamerkan pencapaian negara dalam bidang terowong dan kejuruteraan bawah tanah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.