Masih perlu pekerja manual raih buah sawit, kata Johari

Masih perlu pekerja manual raih buah sawit, kata Johari

Menteri perladangan dan komoditi itu berkata, teknologi mesin bagi meraih buah sawit masih belum dibangunkan.

Industri minyak sawit masih sangat bergantung kepada pekerja asing untuk meraih dan mengutip buah sawit, menurut Johari Ghani.
KUALA LUMPUR:
Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani berkata, pekerja manual masih diperlukan untuk meraih buah kelapa sawit kerana teknologi mesin untuk tujuan itu masih belum dibangunkan.

Disebabkan itu, kata Johari, industri minyak sawit masih sangat bergantung kepada pekerja asing untuk meraih dan mengutip buah, dengan hampir separuh daripada tenaga buruh ditumpukan untuk tugas itu.

“(Meraih buah sawit) masih memerlukan (tenaga) manual. Kita ada banyak pisau-pisau untuk meraih buah ini secara automatik, gunakan bateri, tetapi kita perlukan tenaga,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, tugas-tugas lain seperti penggunaan baja dan racun, katanya, dapat dilaksanakan menggunakan alatan seperti dron.

Johari menjawab soalan tambahan Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) mengenai sama ada kementerian bercadang menangani kekurangan pekerja dalam industri minyak sawit melalui kemajuan teknologi.

Bulan lepas, beliau mengumumkan bahawa hanya sektor perladangan akan dibenarkan mengambil pekerja asing, menurut Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail selepas pertemuan dengan Menteri Sumber Manusia Steven Sim pada 16 Jan.

Johari berkata, industri itu mengalami kekurangan 40,000 pekerja.

Bagi menangani keperluan pekerja asing industri, Johari berkata, kementeriannya telah memperkenalkan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional bertujuan melatih rakyat tempatan menjadi peraih.

“Kita telah kenal pasti 60 orang untuk masuk dalam kelas ini bermula April sampai September dengan harapan mereka boleh tumpukan pada proses mengutip buah ini.

“Apabila kepakaran itu dapat dicapai, kita boleh galakkan lebih ramai orang untuk meraih buah kelapa sawit ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.