
Katanya pada perbicaraan 1MDB bekas perdana menteri Najib Razak, dia hanya tahu mengenai komen Leissner itu hari ini.
Leissner membuat kenyataan berhubung Loo ketika memberi keterangan pada perbicaraan rasuah rakan sekerja, Roger Ng, di New York.
“Itu pandapatnya. Ia tidak benar,” kata Loo, ketika ditanya oleh peguam, Shafee Abdullah, mengenai dakwaan Leissner bahawa Loo ‘konco nombor satu’ ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho.
Dia turut menafikan dakwaan Leissner yang Loo tidak berpuas hati dengan jumlah wang yang sepatutnya diterima dalam akaun bank Credit Suisse.
Katanya, semua projek dijalankan 1MDB memerlukan pengesahan Najib kerana beliau seorang pemegang saham selaku menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat.
Loo berkata mendapatkan kelulusan Najib bagi semua projek 1MDB merupakan amalan, semasa dia berkhidmat di syarikat itu. Loo menyertai 1MDB pada 2011.
Shafee: Bukankah (amalan itu) mengetepikan semua pengarah?
Loo: Itu amalannya.
Shafee: Adakah tugas anda untuk memastikan beliau (Najib) menandatangani dokumen atas kapasitinya selaku perdana menteri, menteri kewangan, atau pemegang saham?
Loo: Pada dasarnya, ia orang yang sama (Najib).
Perbicaraan bersambung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Najib berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang dan salah guna kuasa membabitkan dana yang didakwa berkaitan dengan 1MDB, berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.