
Presidennya Adnan Mat membangkitkan perkara itu susulan isu pesakit jantung dalam kalangan penjawat awam dan pesara dikeluarkan daripada IJN baru-baru ini walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan kes tersebut melibatkan pesakit yang sudah stabil.
Menurutnya, lebih wajar kerajaan terus terus membenarkan pesakit sedia ada di IJN kekal mendapatkan rawatan terbaik di situ tanpa perlu mengeluarkan atau merujuk semula mereka ke hospital-hospital lain milik KKM.
“Tindakan mengeluarkan pesakit sedia ada di IJN hanya akan menyebabkan kesesakan dan masa menunggu yang lama di Pusat Jantung KKM yang sememangnya sudah mempunyai pesakit sedia ada.
“Ia juga mengakibatkan pesakit terbabit terpaksa menunggu giliran lebih lama untuk dirawat memandangkan rekod semasa mereka di hospital lain masih baru dan perlu memberi ruang kepada pesakit sedia ada,” katanya dalam kenyataan.
Adnan berkata Cuepacs juga bimbang kebajikan penjawat awam dan pesara akan diabaikan dalam mendapatkan rawatan terbaik sekiranya mereka terus dikeluarkan dari IJN.
“Mekanisme atau pendekatan lain boleh diambil kerajaan sekiranya kos perbelanjaan menjadi punca utamanya. Langkah penjimatan tidak seharusnya dijadikan asas dalam soal pemotongan perbelanjaan berkaitan penjagaan kesihatan kerana ia adalah keutamaan kerajaan untuk menjaga kebajikan penjawat awam dan pesara.
“Pemotongan kos untuk langkah penjimatan harus disasarkan kepada program ‘ad hoc’ lain yang tidak mempunyai keutamaan di semua peringkat kerajaan dan bukannya melibatkan perkara berkaitan keperluan asas rakyat,”katanya.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad menafikan dakwaan kononnya IJN telah mendiscaj keluar semua penjawat awam dan pesara sebagai sebahagian daripada langkah mengurangkan kos.
Baru-baru ini, portal berita kesihatan CodeBlue menerbitkan surat daripada seorang pesara yang tidak dinamakan yang mendakwa dikeluarkan dari IJN selepas menerima penjagaan rapi.
Penulis mendakwa dia diberitahu oleh doktor di institut jantung itu bahawa mereka mengikut arahan KKM supaya penjawat awam dan pesara dibenarkan keluar ke pusat jantung kerajaan.