Salah guna Mercedes syarikat, bekas pengarah didakwa di mahkamah

Salah guna Mercedes syarikat, bekas pengarah didakwa di mahkamah

Tertuduh, Ng Chiang Chong, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam.

Bekas pengarah syarikat pengimport bahan mentah Ng Chiang Chong, 61, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan harta syarikat dua tahun lalu. (Gambar Bernama)
BUKIT MERTAJAM:
Seorang bekas pengarah syarikat pengimport bahan mentah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan harta syarikat pada Oktober 2022.

Tertuduh, Ng Chiang Chong, 61, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta iaitu sebuah kereta jenis Mercedes Benz GLC 300 Coupe bernombor pendaftaran PPK 378 milik Syarikat Heap Lee Chan Trading Sdn Bhd.

Bapa kepada empat anak itu didakwa melakukan kesalahan terbabit di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Seberang Jaya dalam Daerah Seberang Perai Tengah pada 3 Okt 2022.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Aini Yahya menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh manakala peguam tertuduh, Martin Khoo memohon agar jaminan minimum diberikan atas alasan anak guamnya menghidap sakit jantung di samping perlu menjaga isterinya yang sedang menjalani kemoterapi akibat penyakit kanser.

“Untuk maklumat yang Arif, pengadu dalam kes ini merupakan adik kepada tertuduh iaitu kes menuntut harta pusaka milik mendiang bapa mereka kini sedang berjalan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

“Jadi tiada alasan untuk anak guam saya melarikan diri dalam kes ini selain dia juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” kata Khoo.

Majistret kemudian menetapkan 2 April depan untuk tarikh serahan dokumen dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.