
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K Pathmananthan berkata operasi itu diarah dan diselaraskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di Jabatan Perdana Menteri serta dikendalikan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Beliau berkata, PBAPP mengucapkan terima kasih kepada Nadma, TUDM, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan kerajaan Pulau Pinang atas maklum balas pantas mereka terhadap permintaan pembenihan awan yang dibuat awal bulan ini.
“Menurut pemberitahuan rasmi daripada Badan Kawal Selia Bekalan Air Pulau Pinang (BKSA), penjadualan dan pelaksanaan operasi pembenihan awan tertakluk kepada keadaan atmosfera dan awan.
”Dalam tempoh 1 Feb hingga hari ini, PBAPP hanya merekodkan 45mm hujan di KTA Empangan Air Itam dan KTA Empangan Teluk Bahang pula sebanyak 71.5mm hujan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan kapasiti efektif Empangan Air Itam terus mengalami penyusutan membimbangkan dengan bacaan takungan direkodkan pada kadar 33.7%.
Pathmananthan berkata, operasi pembenihan awan yang dijalankan berturut-turut pada Mei dan Jun tahun lalu menyumbang kepada 30.5mm hujan di KTA Empangan Air Itam yang membantu memastikan tiada krisis air di Air Itam pada 2023.
Ketika ini, katanya, kapasiti efektif Empangan Air Itam rendah dan Empangan Teluk Bahang semakin berkurangan.
“Oleh itu, sebarang jumlah hujan akan berguna kerana kami berusaha mempertahankan rizab air mentah empangan ini sehingga musim hujan akan datang.”
Beliau berkata, setakat hari ini, paras air Sungai Muda di Kedah ialah 2.23m dan PBAPP sedang mengabstrak air mentah dari sungai itu untuk menyokong pengeluaran air optimum di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.
“Kapasiti Empangan Muda dan Empangan Beris yang melepaskan air ke Sungai Muda dilaporkan masing-masing 63.2% dan 100%.”