KKM nafi pesara dikeluar dari IJN untuk jimat kos

KKM nafi pesara dikeluar dari IJN untuk jimat kos

Kementerian Kesihatan berkata pesakit hanya dikeluarkan apabila keadaan mereka stabil dengan tempoh pemantauan sekurangnya enam bulan.

Dalam surat disiarkan di portal kesihatan Code Blue semalam, seorang pesara berkata beliau terkejut kerana dimaklumkan akan dikeluarkan dari IJN walaupun menerima rawatan lanjut selama 25 tahun.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan laporan mendakwa pesakit terdiri pesara dan penjawat awam akan dikeluarkan dari Institut Jantung Negara (IJN) dan dirujuk ke pusat jantung berhampiran dengan tempat tinggal mereka untuk mengurangkan kos.

Katanya, pesakit hanya dikeluarkan dari IJN apabila keadaan mereka stabil, dengan tempoh pemantauan sekurangnya enam bulan hingga setahun bagi dewasa dan setahun hingga dua tahun bagi kanak-kanak.

“Pesakit yang stabil ini kemudian kembali ke hospital kerajaan untuk penjagaan lanjut bawah Jabatan Kardiologi dan Kardiotorasik.

“Pendekatan strategik ini membolehkan kira-kira 4,000 pesakit baharu dirujuk ke IJN setiap tahun, sekali gus meningkatkan keberkesanan kos,” katanya dalam kenyataan.

Kementerian menjawab satu surat disiarkan di portal kesihatan Code Blue semalam, di mana seorang pesara berkata beliau terkejut kerana dimaklumkan akan dikeluarkan dari IJN walaupun menerima rawatan lanjut selama 25 tahun.

Pesara itu berkata beliau dimaklumkan IJN mengikut arahan KKM.

Menurut pesara itu, pakar jantung memaklumkannya IJN tiada pilihan memandangkan kerajaan sedang mengurangkan kos.

Bekas menteri Rafidah Aziz mempersoalkan tindakan itu dan berkata rawatan pakar di hospital kerajaan sebahagian pakej persaraan untuk golongan pesara.

Rafidah, bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri turut menyoal sama ada pesara berkenaan yang “telah berkhidmat demi negara untuk sebahagian besar hidup mereka” kini perlu mendapat rawatan di klinik kerajaan.

Katanya, klinik berkenaan tiada kepakaran mahupun peralatan dan ubat yang perlu untuk merawat mereka yang memerlukan rawatan khusus.

“Mengejutkan jika kerajaan mengambil langkah tidak berperikemanusiaan seperti itu,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, KKM berkata hospital kerajaan mempunyai kemudahan lengkap dan dikendalikan doktor serta pakar bedah berkelayakan, menawarkan perkhidmatan setanding IJN.

“Strategi merujuk kes yang rumit dan kritikal kepada IJN bertujuan mengoptimumkan penggunaan sumber dan memastikan akses orang ramai ke perkhidmatan hospital kementerian.

“Oleh itu, berkongsi beban pesakit dengan IJN tidak boleh dilihat sebagai sebarang bentuk kekurangan di hospital awam,” katanya.

Kementerian berkata, kos berkaitan dengan pesakit yang dirujuk ke IJN ditanggung dana persekutuan disediakan Kementerian Kewangan.

“Walaupun perbelanjaan untuk pesakit yang dirujuk ke IJN ini meningkat setiap tahun, langkah kawalan kos yang cermat adalah penting untuk merawat sebanyak mungkin pesakit dengan sumber yang ada dan memastikan keadilan kepada pembayar cukai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.