Ketua Ayahanda Harimau Kumbang didakwa urus pertubuhan haram

Ketua Ayahanda Harimau Kumbang didakwa urus pertubuhan haram

Media sebelum ini melaporkan Ayahanda Harimau Kumbang merupakan serpihan pertubuhan berdaftar, Selendang Merah dipercayai merekrut ahli sejak 2021.

Husin Hassan (kiri) bersama anaknya, Muhammad Aieril Amirul di Mahkamah Majistret Dungun hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Dungun atas pertuduhan menguruskan pertubuhan haram dikenali sebagai Ayahanda Harimau Kumbang.

Sinar Harian melaporkan Husin Hassan, 40, mohon dibicarakan selepas tuduhan dibacakan jurubahasa di depan Majistret Nur Amira Fatihah Osman.

Mengikut pertuduhan pertama, Husin menguruskan sebuah pertubuhan tidak berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966, iaitu Pertubuhan Kebajikan Selendang Merah Malaysia (Ayahanda Harimau Kumbang), di Kampung Sura Jeti, Dungun, Terengganu kira-kira 1.40 pagi 20 Jan 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 42 Akta Pertubuhan 1966 yang boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM15,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa bersama Mohd Syamim Abdul Rahim, 39, mengambil bahagian dalam Ayahanda Harimau Kumbang tanpa kebenaran bertulis pendaftar, yang mana pertubuhan itu tidak didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966, di lokasi, masa dan tarikh sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6 (2) Akta Pertubuhan 1966 dan boleh dihukum bawah Seksyen 6 (3) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Empat ahli kumpulan itu turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan kepada mereka secara berasingan di mahkamah sama.

Mereka ialah anak lelaki Husin, Muhammad Aieril Amirul Husin, 21, dan adik Husin iaitu Mohamad Hassan, 39, pemandu ambulans, Hilmy Ibrahim, 50, dan juga Syamim.

Mengikut pertuduhan, Mohamad dan Aieril masing-masing didakwa menjadi ahli Ayahanda Harimau Kumbang di sebuah kawasan di Dungun pada 1.45 pagi serta 3.15 pagi 20 Jan 2023.

Syamim dan Hilmy pula didakwa menjadi ahli kumpulan itu di sebuah kawasan di Dungun serta Kuala Terengganu pada 1.50 pagi dan 2.30 pagi 20 Jan 2023.

Keempat-empatnya didakwa mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Husin dibebaskan dengan jaminan keseluruhan RM9,000, Syamim dengan jaminan keseluruhan RM7,000 serta seorang penjamin, manakala Mohamad, Aieril dan Hilmy dengan jaminan RM3,000 setiap seorang dan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Mac ini.

Media sebelum ini melaporkan Ayahanda Harimau Kumbang yang disyaki aktif dalam aktiviti pinjaman wang tidak berlesen dan menarik kenderaan secara haram dilumpuhkan dalam operasi khas Bukit Aman di sekitar Dungun.

Siasatan awal mendapati Ayahanda Harimau Kumbang merupakan serpihan pertubuhan berdaftar, Selendang Merah yang mula aktif di sekitar Dungun dan dipercayai merekrut ahli, termasuk dalam kalangan anggota dan pegawai polis di IPD Dungun sejak 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.