Himpunan Bersih ‘peringatan’ kepada kerajaan, kata bekas Ahli Parlimen

Himpunan Bersih ‘peringatan’ kepada kerajaan, kata bekas Ahli Parlimen

Maria Chin Abdullah berharap perdana menteri mempercepat reform, namun penganalisis berkata kerajaan tidak banyak terkesan.

Seorang penganalisis berpandangan tidak mudah bagi Anwar Ibrahim melaksanakan reform kerana kerajaan bukan sepenuhnya diterajui PKR. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas Ahli Parlimen PKR berharap himpunan Bersih dijadual pagi ini bagi menuntut pelaksanaan reform dijanjikan, menjadi peringatan kepada Putrajaya.

Bagaimanapun, beberapa penganalisis berpandangan kerajaan tidak terlalu terkesan oleh desakan berkenaan.

Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, berkata himpunan dijadual disifatkan “langkah ditunggu-tunggu” oleh kumpulan reformasi pilihan raya itu. Katanya, ia akan menjadi penanda kepada sidang Dewan Rakyat kepada Ahli Parlimen terhadap janji reform yang sekian lama tertangguh.

Maria, yang akan turut serta dalam himpunan berkenaan, berkata penting untuk Parlimen segera melaksanakan pelbagai reform. Ia termasuk meluluskan akta pendanaan politik, memisahkan peranan pendakwa raya dengan peguam negara, dan menghadkan penggal perdana menteri.

Beliau menegaskan ia merupakan isu penting dan Bersih akan meneruskan desakan terbabit.

“Sebagai kerajaan berorientasikan reform dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjadi ketuanya, saya berharap bantahan Bersih akan menjadi peringatan kepada reform.

“Anwar dan kerajaan perpaduan mesti memutuskan sama ada mereka mahu mempercepat reform dan membawa kestabilan kepada negara,” katanya yang juga bekas pengerusi Bersih kepada FMT.

‘Hanya peringatan’

James Chin dari University of Tasmania, berkata walaupun himpunan itu mungkin menarik hadirin, berkemungkinan tidak mampu menarik ramai untuk turun berhimpun seperti dilihat sebelum ini kerana bukan melibatkan hal menjatuhkan kerajaan.

“Kerajaan akan mengambil maklum himpunan ini, namun mereka tidak terlalu bimbang sangat. Ia hanya peringatan kepada Putrajaya untuk melihat kepada reform,” katanya.

‘Peraga rasa tidak puas hati’

Dalam pada itu, Oh Ei Sun menggambarkan himpunan berkenaan cubaan penyokong Pakatan Harapan “memperaga” rasa tidak puas hati terhadap tindakan lembap melaksanakan reform dijanjikan.

Felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura itu, bagaimanapun berkata himpunan terbabit tidak akan mempercepat reform susulan kekangan daripada pihak konservatif.

Katanya, kerajaan berkemungkinan sekadar menyokong secara lisan terhadap tuntutan dibuat, selain memilih-milih perkara yang lebih realistik untuk diambil tindakan.

‘Ironi’

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya, berkata keputusan Bersih melakukan himpunan bukti NGO itu tidak puas hati terhadap kerajaan.

Beliau mendapati keseluruhan episod adalah ironik memandangkan Anwar sering dilihat seorang yang berkehendak kepada reform, manakala Bersih dilihat sekutu kepada Pakatan Harapan dari sudut itu.

“Kini Anwar telah berada dalam kerajaan, beliau sedar bukan mudah melaksanakan reform seperti diumumkan. Namun, Bersih perlu ingat kerajaan diterajui bukan diketuai sepenuhnya oleh PKR.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.