Didakwa tipu bekal sarung tangan, ahli perniagaan diarah bela diri

Didakwa tipu bekal sarung tangan, ahli perniagaan diarah bela diri

Mahkamah Majistret membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengarahkan tertuduh membela diri atas tuduhan menipu seorang ahli perniagaan wanita berhubung pembekalan sarung tangan membabitkan kerugian berjumlah RM65,000. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Majistret memerintahkan seorang ahli perniagaan membela diri terhadap pertuduhan menipu seorang usahawan wanita berhubung pembekalan sarung tangan ketika pandemik Covid-19 membabitkan kerugian berjumlah RM65,000.

Majistret Illi Marisqa Khalizan memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Muhammad Syafiq Pubalan Abdullah di akhir kes pendakwaan.

Peguam Mohd Zaidi Othman yang mewakili Syafiq memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya akan memberikan keterangan membela diri secara bersumpah melalui kandang saksi.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 dan 25 April ini untuk prosiding membela diri.

Pembelaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zuhairi Osman.

Mengikut pertuduhan, Syafiq didakwa menipu Nursyarina Zulkifli Wijitha dengan memperdayakan mangsa bahawa tertuduh boleh membekalkan sarung tangan sehingga mendorong wanita itu untuk membuat pembayaran RM65,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Setia Sky Residence, Jalan Raja Muda Abdul Aziz di sini, antara 22 Julai 2020 hingga 24 Julai 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman antara setahun hingga 10 tahun dan dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.