5 penghantar makanan dituduh bunuh pemandu kereta

5 penghantar makanan dituduh bunuh pemandu kereta

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Pelangi Semenyih 2 pada 9.54 malam 20 Feb lalu.

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi atas pertuduhan membunuh seorang pemandu kereta pada 20 Feb lalu.
BANGI:
Lima individu terlibat kes pukul seorang pemandu kereta sehingga mati selepas kemalangan di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, minggu lalu didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi atas pertuduhan membunuh.

Mohd Yuree Ranoff Mohd Bachuri, 41; Azharul Azuan Mohd Azan, 34; Tengku Izham Tengku Hamid, 22; Mahazir Nordin, 43 dan Syamsul Qamar Ayob, 40, hanya mengangguk faham selepas kertas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di depan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi.

Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh kerana kes bunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan kelima-lima tertuduh didakwa membunuh Shahril Samad, 41, di Jalan TPS 2/3, Taman Pelangi Semenyih 2, Beranang, pada 9.54 malam 20 Feb lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun jika sabit kesalahan.

Jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman manakala semua tertuduh yang juga penghantar makanan diwakili peguam, Mohd Hafiz.

Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 25 April ini untuk serahan status forensik, laporan kimia dan bedah siasat.

Rabu lalu media melaporkan mangsa diikat tangannya sebelum ditarik keluar dari kereta oleh orang awam selepas kemalangan dan dipukul sehingga maut.

Kejadian berlaku apabila lelaki yang memandu kereta Proton Saga itu terbabit kemalangan dengan penghantar makanan.

Sejurus kemalangan, mangsa dikejar orang awam hingga ke Taman Pelangi Semenyih 2 sebelum keretanya terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.