Tarik minat warga tempatan melalui automasi

Tarik minat warga tempatan melalui automasi

Inisiatif Sime Darby Plantation menggantikan pekerja asing dengan warga tempatan dilihat sebagai langkah positif.

Pekerjaan dianggap kotor, berbahaya dan sukar (pekerjaan 3D) serta kurangnya prospek masa depan menghalang minat warga tempatan bekerja dalam industri perladangan. (Gambar Sime Darby)
PETALING JAYA:
Sejak sekian lama sektor perladangan yang bergantung pada tenaga buruh didominasi oleh pekerja asing.

Menurut laporan Bloomberg pada 2022, rakyat kurang menunjukkan minat bekerja dalam sektor perladangan walaupun ditawarkan pelbagai insentif menarik. Inilah sebabnya 85% daripada jumlah pekerja terdiri daripada warga asing.

Kerajaan yang peka terhadap aliran keluar ringgit oleh pekerja asing dan kadar pengangguran tinggi dalam kalangan rakyat menggesa sektor perladangan mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang berpanjangan ini.

Dalam ucapannya semasa pembentangan belanjawan 2024 pada 13 Okt 2023, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan automasi dapat meningkatkan produktiviti dalam sektor perladangan.

“Bagi meningkatkan produktiviti produk-produk perladangan serta mengurangkan kebergantungan pada buruh asing menerusi penggunaan mesin dan automasi seperti dron dan kenderaan pandu sendiri, skop insentif cukai automasi akan diperluaskan kepada sektor komoditi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi,” kata Anwar.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof pula berkata automasi akan menjadi tumpuan utama beberapa inisiatif yang bakal digerakkan.

“Penggunaan automasi dan teknologi maju bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan, malah juga peluang pendapatan,” katanya kepada The Edge pada Mac 2023.

Memecah stigma

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Plantation Bhd (SDP), Helmy Othman Basha, pekerjaan yang dianggap kotor, berbahaya, dan sukar (pekerjaan 3D) dalam sektor perladangan mengakibatkan stigma yang memadamkan minat pencari kerja tempatan.

“Kita perlu mengubah cara bekerja. Ini dapat menggalakkan pekerja muda warga tempatan bekerja dalam sistem perladangan moden. Penggunaan teknologi pula dapat mewujudkan suasana kerja yang menarik dan dinamik, meningkatkan prospek yang lebih cerah bagi mereka yang berkemahiran,” katanya.

Menggalakkan pekerja berkemahiran tinggi

Atas beberapa sebab, kebanyakan peneraju industri berpendapat mustahil untuk melakukan automasi dalam memotong buah sawit. Mengakui kesukarannya, Helmy tetap optimis dan berkata: “Walaupun sukar mencari cara yang lebih mudah, itu lebih baik daripada tidak berbuat apa-apa.”

Kini, pekerjaan baharu yang tersedia di estet-estet SDP meliputi pekerja mahir mesin, juruteknik, dan juruterbang dron.

Syarikatnya turut bekerjasama dengan pelbagai organisasi, agensi, institusi pendidikan, dan kolej TVET (pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional) bagi menggalakkan lulusan dan pekerja muda tempatan merebut peluang kerja baharu di estet-estet SDP.

Automasi dan masa depan

Demi mencapai matlamat 100% tenaga kerja tempatan menjelang 2027, SDP berhasrat mengurangkan kebergantungan pada pekerja manual.

“Kami sedang mengadakan pelbagai ujian untuk mewujudkan penyelesaian yang inovatif,” katanya kepada FMT Business.

SDP menubuhkan Mechanisation Transformation Unit and Robotics Centre di Pulau Carey, Selangor. Ia turut bekerjasama dengan syarikat permulaan tempatan untuk meningkatkan kaedah pemotongan buah sawit, memanfaatkan teknologi termaju seperti dron, lengan robotik, kenderaan tanpa pemandu, sistem pengesanan, serta pelbagai komponen dan inovasi teknologi.

Helmy yang juga merupakan pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata industri ini memerlukan sokongan teguh kerajaan bagi membolehkan mereka beralih ke arah teknologi.

“SDP menunjukkan komitmen jitu dan peningkatan besar dalam penggunaan mesin, automasi dan pendigitalan operasi perladangan kelapa sawit.

“Tumpuan kami membangun dan memperkenalkan pelbagai mesin dan penyelesaian untuk tugasan bukan pemotongan buah di ladang-ladang kelapa sawit. Malah, kami turut menawarkan inovasi tersebut kepada syarikat-syarikat dalam industri,” tambahnya.

Kesungguhan kerajaan ke arah penggunaan mesin dan automasi tidak terhad pada industri perladangan semata-mata. Ini terbukti menerusi peruntukan RM100 juta untuk geran pendigitalan yang membolehkan lebih 20,000 usahawan PKS menerima RM5,000 untuk meningkatkan jualan, inventori, dan sistem perakaunan digital.

Dana sebanyak RM900 juta yang diselia oleh Bank Negara turut tersedia, berbentuk pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana untuk melonjakkan produktiviti perniagaan menerusi automasi dan pendigitalan.

Presiden Persatuan Pengilang Produk Getah Malaysia (MRPMA), Yeaw Kok Kwei, berkata belanjawan 2024 memperlihatkan respons ketara dan positif kerajaan terhadap keperluan industri.

“Teknologi penting bagi membolehkan kemampuan bersaing untuk kecekapan pengeluaran. Jika tidak, persaingan dalam pasaran yang mencabar ini akan menjadi sukar,” jelasnya kepada FMT Business.

“Agensi-agensi kerajaan menggalakkan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) yang bertumpu kepada pengindustrian. PKS berharap pada sokongan kerajaan dalam bentuk geran untuk penggunaan mesin dan automasi.

“Kini, pihak pentadbir yang bertanggungjawab perlu percepatkan agihan pinjaman bagi membolehkan pihak industri mempercepatkan pelaksanaan revolusi automasi perindustrian. Ini akan memberi manfaat bukan sahaja kepada perusahaan kecil dan sederhana, malah juga kepada negara,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.