Kerajaan tarik rayuan dedah laporan kehilangan aktivis

Kerajaan tarik rayuan dedah laporan kehilangan aktivis

Laporan itu disediakan selepas inkuiri Suhakam menyimpulkan Amri Che Mat mangsa kehilangan paksa.

Norhayati Ariffin menyaman kerajaan dan polis atas kehilangan suaminya Amri Che Mat pada November 2016. (Gambar fail)
PUTRAJAYA:
Kerajaan menarik balik rayuan atas keputusan Mahkamah Tinggi memerintahkan Putrajaya mendedahkan laporan sulit kehilangan aktivis Amri Che Mat kepada isterinya.

FMT difahamkan, Mahkamah Rayuan dimaklumkan minggu lalu bahawa rayuan itu akan ditarik balik tanpa sebarang perintah mengenai kos.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan mendedahkan laporan pasukan petugas khas kepada Norhayati Ariffin, yang menyaman polis dan kerajaan berhubung kehilangan suaminya lebih tujuh tahun lalu.

Perintah mahkamah itu bagaimanapun melarang Norhayati dan peguamnya mendedahkan kandungan laporan kepada pihak ketiga.

Amri, pengasas NGO Perlis Hope, meninggalkan rumahnya di Kangar kira-kira 11.30 malam 24 Nov 2016. Keretanya ditemui di tapak pembinaan Sekolah Sukan Bukit Cabang awal pagi keesokannya.

Suhakam mengadakan inkuiri awam mengenai kehilangan Amri antara 2017 dan 2019.

Pada 2021, inkuiri itu menyimpulkan Amri mangsa kehilangan paksa oleh kerajaan, khasnya Cawangan Khas polis.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) kemudian menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat kesimpulan Suhakam. Ia diberi tempoh enam bulan untuk menyiapkan laporannya.

KDN mahupun pasukan petugas tidak mendedahkan laporan itu, walaupun desakan berulang kali oleh pelbagai pihak untuk berbuat demikian, termasuk Suhakam dan beberapa NGO lain. Laporan itu diklasifikasikan rahsia kerajaan.

Pada 2019, Norhayati memfailkan saman terhadap kerajaan dan 20 yang lain berhubung tindakan KDN serta polis ketika siasatan mereka atas kehilangan Amri.

Senarai defendan itu termasuk bekas ketua polis negara, Khalid Abu Bakar dan Fuzi Harun, serta bekas penolong pengarah Cawangan Khas, Awaludin Jadid.

Perbicaraan saman itu akan bersambung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Feb ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.