Bunuh 2 lelaki: warga Filipina dihukum penjara 80 tahun, 24 sebatan

Bunuh 2 lelaki: warga Filipina dihukum penjara 80 tahun, 24 sebatan

Nurhan Khalid mengaku bersalah membunuh Hipang Iba Bernadus dan Tomas Yohanes di sebuah gereja di Ladang Pinang, Semporna pada Jun 2022.

Susulan pengakuan bersalah Nurhan Khalid, 31, atas dua tuduhan membunuh, Hakim Mahkamah Tinggi Tawau Duncan Sikodol menjatuhkan hukuman 40 tahun dan 12 sebatan bagi setiap tuduhan, yang akan dijalaninya serentak. (Gambar Pexels)
TAWAU:
Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 80 tahun dan 24 sebatan ke atas seorang penganggur warga Filipina kerana membunuh dua lelaki Indonesia di Semporna dua tahun lepas.

Hakim Duncan Sikodol memutuskan sedemikian selepas Nurhan Khalid, 31, mengaku bersalah atas dua tuduhan dihadapinya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 40 tahun dan 12 sebatan bagi setiap tuduhan namun Nurhan diperintah menjalani hukuman secara serentak dari tarikh dia ditangkap, iaitu 26 Jun 2022. Ini bermakna Nurhan hanya akan dipenjarakan selama 40 tahun.

Lelaki itu didakwa membunuh Hipang Iba Bernadus dan Tomas Yohanes di sebuah gereja di Ladang Pinang, Semporna pada 26 Jun 2022 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati, atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, serta sebatan minimum 12 kali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hurman Hussain manakala Nurhan diwakili peguam Jhassary P Kang dan Jhesseny P Kang.

Di mahkamah sama, Duncan turut menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan ke atas seorang lelaki warga Filipina yang mengaku mengedar dadah jenis syabu di Lahad Datu tahun lepas.

Isnawi Sarawi, 45, didakwa mengedar 199.71g syabu di kawasan tepi Jalan Kampung Panji, Jalan Pantai, Lahad Datu pada 1 Feb lepas mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 , dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Isnawi berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan jika tidak, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali.

Mahkamah memerintahkan Isnawi menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap, iaitu 1 Feb 2023.

Pendakwaan bagi kes ini turut dikendalikan oleh Hurman manakala Isnawi diwakili peguam Vivian Thien.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.