Pelaburan dilulus petunjuk keyakinan prospek ekonomi negara, kata menteri

Pelaburan dilulus petunjuk keyakinan prospek ekonomi negara, kata menteri

Tengku Zafrul Aziz berkata jika pelaburan diluluskan lebih tinggi maka kebarangkalian lebih banyak pelaburan direalisasikan juga lebih mudah.

Tengku Zafrul Aziz berkata pelaburan domestik naik 35% berbanding diluluskan tahun lalu membuktikan keyakinan pelabur tempatan kepada ekonomi negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tengku Zafrul Aziz berkata pelaburan diluluskan adalah petunjuk keyakinan pelabur kepada prospek ekonomi negara.

Menteri pelaburan, perdagangan dan industri berkata jika pelaburan diluluskan lebih tinggi, maka kebarangkalian untuk lebih banyak pelaburan direalisasikan juga lebih mudah.

“Sesuatu pelaburan itu akan memakan masa panjang untuk hasilkan keuntungan, oleh itu, sekiranya pelabur tak yakin dengan prospek ekonomi negara kita, mereka tidak akan berani melabur,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau mengulas pertikaian bahawa prestasi pelaburan perlu diukur menerusi aliran masuk bersih pelaburan asing atau “net FDI flow” dan bukan berdasarkan pelaburan diluluskan.

Sebelum ini Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata angka RM329.5 bilion adalah jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara, meningkat 23.0% daripada 2022.

Tengku Zafrul berkata, pelaburan domestik juga penting dalam pelaburan yang diluluskan.

“Satu perkara yang pengkritik selalu terlepas pandang ialah pelaburan yang diluluskan bukan pelaburan asing sahaja tetapi termasuk pelaburan domestik.

“Contohnya dalam RM329.5 bilion pelaburan yang diluluskan tahun lalu, hampir separuh iaitu 43% adalah pelaburan domestik,” katanya.

Katanya, pelaburan domestik naik 35% berbanding yang diluluskan tahun lalu.

Menurutnya, perkara itu membuktikan keyakinan pelabur tempatan kepada ekonomi negara.

“Bila orang yang kononnya pernah kerja di Unit Perancangan Ekonomi (EPU) bandingkan net FDI dengan pelaburan diluluskan, tanpa sedar bahawa pelaburan domestik pun terbabit sama.

“Saya rasa tidak perlulah kita kisah sangat dengan analisis itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.