Segera projek selenggara kemudahan pintu masuk negara, kata Anwar

Segera projek selenggara kemudahan pintu masuk negara, kata Anwar

Perdana menteri berkata ia bagi menampung peningkatan kedatangan pelancong ke negara ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beberapa kemudahan di lapangan terbang tertentu termasuk di Tawau, Sabah dan Pulau Pinang harus dibaiki bagi mengelak kesesakan.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta supaya semua projek-projek penyelenggaraan dan penambahbaikan kemudahan di pintu masuk negara meliputi lapangan terbang dan pelabuhan, disegerakan bagi menampung peningkatan kedatangan pelancong ke negara ini.

Beliau berkata kemudahan itu perlu efisien dan harus dibaiki bagi mengelak kesesakan di beberapa lapangan terbang tertentu termasuk di Tawau, Sabah serta Pulau Pinang, dan pada masa yang sama penambahbaikan perkhidmatan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga perlu disiapkan dengan pantas.

“Bukan sahaja (lapangan terbang) di Kota Kinabalu, Kuching, Pulau Pinang, Alor Setar dan, Kota Bharu, sampai ke Tawau..

“Seperti mana kita tahu lapangan terbang di Tawau itu kecil, tidak dirangka untuk mendapat pelancong dari luar negara. Kita kena tarik pelancong dari luar, (jadi) tak bolehlah nak siapkan atau baiki lapangan terbang dalam tempoh tiga atau empat tahun, tak boleh,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan sambutan Hari Kraf Kebangsaan 2024 di Kompleks Kraf, yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing dan Timbalan Menteri, Khairul Firdaus Akbar Khan.

Justeru, Anwar yang juga menteri kewangan berkata ketua-ketua pengarah yang berkaitan perlu merujuk kepada Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan bagi menyegerakan arahannya itu.

“Oleh sebab itu, saya minta semua ini disegerakan dan usahakan menteri pengangkutan, segerakan hal sedemikian.. lapangan terbang Tawau, Pulau Pinang yang dah sesak, untuk memudahkan.. KLIA contohnya, itu sudah jadi tekanan kerana jumlah pelancong yang sangat tinggi,” katanya.

Perdana menteri berkata bagaimanapun proses untuk menyegerakan projek-projek berkenaan perlulah mengikut prosedur yang ditetapkan untuk mengelak daripada amalan lama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.