Perak fokus 359 projek RM1.28 bilion tahun ini, kata MB

Perak fokus 359 projek RM1.28 bilion tahun ini, kata MB

Saarani Mohamad berkata ia termasuk projek utama seperti pembekalan kelengkapan, peralatan teknologi maklumat dan komunikasi serta pembelian bangunan.

Projek pembangunan selesai pada 2023 antaranya pembinaan Jambatan Bagan Datuk dan Politeknik Bagan Datuk. (Gambar Wikipedia)
IPOH:
Perak memfokuskan pelaksanaan 359 projek fizikal dengan peruntukan RM1.28 bilion bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) negeri itu tahun ini.

Menteri Besar, Saarani Mohamad, berkata ia termasuk projek utama seperti pembekalan kelengkapan, peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pembelian bangunan, pembinaan baru, penyenggaraan, serta perolehan tanah.

“Sementara itu, sebanyak 63 projek lain yang berjumlah RM267 juta atau 17% adalah projek bukan fizikal yang meliputi pembiayaan dana, program-program ICT, kajian serta program latihan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, beliau mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri Perak (MTPNg) bersama ketua jabatan negeri dan persekutuan yang bertujuan mengukuhkan pemantauan pelaksanaan projek pembangunan persekutuan di Perak supaya berjalan mengikut garis masa ditetapkan.

Menurutnya, antara dibincangkan termasuk perkembangan terkini projek persekutuan bawah RP4 RMK12 Perak tahun ini yang membabitkan 422 program pembangunan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.55 bilion.

Sementara itu, selaras aspirasi Perdana Menteri Anwar Ibrahim menambah baik keperluan pelajar melalui projek peningkatan dan penyelenggaraan kecil, Saarani memaklumkan Perak selesai menyempurnakan projek berkenaan tahun lalu.

“Ia membabitkan 795 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan pada tahun lalu dengan peruntukan sejumlah RM55.65 juta,” katanya.

Katanya, projek pembangunan yang selesai pada 2023 antaranya pembinaan Jambatan Bagan Datuk, daerah Hilir Perak ke Kampung Sejagop, daerah Perak Tengah dan pembinaan Politeknik Bagan Datuk.

Selain itu, pembinaan asrama, dewan makan, surau, padang dan lain-lain kemudahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bawong, Sungai Siput serta kerja naik taraf Galeri Pangkor dan kemudahan pelancongan di Dataran Nelayan Pulau Pangkor turut selesai.

“Saya turut dimaklumkan berkenaan pelaksanaan Program One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial oleh Pejabat Pembangunan Negeri (ICU), yang menyatukan semua agensi pemberi bantuan di bawah satu platform, banyak membantu mempermudah golongan miskin tegar dalam mendapatkan bantuan yang mereka perlukan,” katanya.

Beliau berkata, keberhasilan program itu dibuktikan dengan penurunan jumlah miskin tegar dalam data eKasih sebanyak 58%, daripada 9,402 ketua isi rumah pada 31 Jan 2023 kepada hanya 3,911 ketua isi rumah pada 31 Dis 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.