Kesatuan pekerja persoal notis 5 hari penamatan KP Tourism

Kesatuan pekerja persoal notis 5 hari penamatan KP Tourism

Presiden Kesatuan Pekerja Tourism Malaysia Alwi Shakir Abdullah berkata sepatutnya kementerian memberikan notis sebulan lebih awal.

Alwi Shakir Abdullah (kiri) berkata kesatuan itu akan mengadakan pertemuan dengan menteri pelancongan untuk mendapatkan pencerahan berhubung penamatan perkhidmatan Ammar Abd Ghapar.
PETALING JAYA:
Kesatuan Pekerja Tourism Malaysia mempersoalkan proses penamatan perkhidmatan Ketua Pengarah Ammar Abd Ghapar yang hanya diberikan notis lima hari.

Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Alwi Shakir Abdullah, berkata notis yang “amat singkat” itu mengundang imej dan persepsi tidak baik terhadap Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Alwi berkata, penamatan perkhidmatan Ammar tanpa penjelasan oleh Menteri Tiong King Sing menimbulkan kegusaran pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen dan penggiat industri.

Katanya, keputusan menamatkan perkhidmatan Ammar juga memberi kesan kepada pekerja di sektor perhotelan dan pelancongan yang meliputi hampir tiga juta pekerja.

Alwi berkata, pekeliling atau arahan mengenai pertukaran, peminjaman atau penamatan tanpa sebab munasabah seperti ini perlu diwujudkan klausa berkenaan tempoh notis.

“Kami berpandangan tempoh notis sekurang-kurangnya sebulan atau lebih bagi mengelakkan perkara seperti ini berulang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga mencadangkan Tribunal Penjawat Awam, yang dimansuhkan lebih dua dekad lalu, diwujudkan semula untuk digunakan penjawat awam jika merasakan penganiayaan berlaku terhadap mereka.

Kata Alwi, kesatuan akan mengadakan pertemuan dengan Tiong dalam masa terdekat untuk mendapatkan pencerahan berhubung perkara itu.

Kenyataan Alwi itu sehari selepas Gabungan Persatuan-persatuan Pelancongan Malaysia menggesa Tiong lebih telus dan memberi penjelasan berhubung penamatan perkhidmatan Ammar.

Persatuan itu berkata, penamatan perkhidmatan Ammar sebagai ketua pengarah menghairankan kerana beliau seorang berpengalaman dan aset kepada industri.

Semalam, Ammar yang dilantik sebagai ketua pengarah pada April tahun lalu, mengesahkan kepada Malay Mail Online perkhidmatannya ditamatkan, dan memberitahu beliau menerima surat daripada Tiong.

Katanya, surat itu menyatakan perkhidmatannya ditamatkan berkuat kuasa 26 Feb, tetapi tidak memberitahu di mana beliau akan ditempatkan selepas ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.