4 majikan langgar undang-undang buruh didenda RM46,500

4 majikan langgar undang-undang buruh didenda RM46,500

Antara dikenakan tindakan adalah sebuah syarikat perhotelan kerana kesalahan lewat bayar gaji pekerja.

Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia akan mempergiatkan penguatkuasaan dan mengambil tindakan ke atas majikan atau syarikat didapati melanggar peruntukan perundangan perburuhan.
KUALA LUMPUR:
Empat majikan didenda membabitkan nilai keseluruhan RM46,500 selepas didapati melanggar undang-undang perburuhan negara.

Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dalam kenyataan memaklumkan sebuah syarikat dalam sektor perhotelan didenda RM12,000 atas pelanggaran Seksyen 19(1) Akta Kerja 1955 membabitkan kesalahan lewat membayar gaji kepada pekerja di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pada 8 Feb lalu.

Di mahkamah sama, sebuah syarikat dalam sektor perkhidmatan keselamatan atau sekuriti juga didenda RM12,000 kerana melanggar Seksyen 43 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) iaitu gagal mematuhi bayaran gaji minimum RM1,500.

Selain itu, pada 19 Feb lalu, sebuah syarikat dalam sektor perkhidmatan pembersihan didenda RM2,500 bagi kesalahan bawah Seksyen 43 Akta 732 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

Sebuah syarikat dalam sektor perlombongan dan pengkuarian pula didenda RM20,000 di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pelanggaran Seksyen 24D(1) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) pada Khamis lalu.

“JTKSM akan terus mempergiatkan penguatkuasaan dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana majikan atau syarikat yang didapati melanggar peruntukan perundangan perburuhan negara,” menurut kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.