Pengarah, pengurus syarikat ditahan palsukan dokumen RTK 2.0

Pengarah, pengurus syarikat ditahan palsukan dokumen RTK 2.0

Cubaan suspek memalsukan dokumen berjaya dihidu sewaktu semakan dokumen permohonan dijalankan oleh Bahagian Pekerja Asing Imigresen KL.

Seorang lelaki dan seorang wanita ditahan pada 11 pagi Rabu lepas di sebuah premis di Desa Petaling, menurut Pengarah Jabatan Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dua warga tempatan ditahan kerana disyaki terlibat memalsukan dokumen permohonan Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) bagi sektor perladangan di sebuah premis di Desa Petaling pada Rabu lepas.

Pengarah Jabatan Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, seorang wanita dipercayai pengarah syarikat dan seorang lelaki dipercayai pengurus syarikat sama ditahan pada 11 pagi ketika kedua-duanya berada di premis tersebut

Katanya, cubaan suspek untuk memalsukan dokumen itu berjaya dihidu oleh pegawai imigresen sewaktu semakan dokumen permohonan dijalankan oleh Bahagian Pekerja Asing Imigresen Kuala Lumpur.

“Aktiviti permohonan kuota pekerja asing sektor perladangan dengan memalsukan dokumen ini ditumpaskan hasil inisiatif proaktif pegawai Imigresen Kuala Lumpur yang menyemak ketulenan geran tanah serta dokumen yang dilampirkan dalam permohonan itu,” katanya.

Kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan kes bawah Seksyen 56(1)(k) dan Seksyen 56(1A)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, Wan Mohammed Saupee menyeru semua majikan yang telah mendaftarkan warga asing untuk program RTK 2.0 supaya segera hadir ke pejabat RTK 2.0, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi menyelesaikan proses verifikasi.

Ini bagi membolehkan urusan pengeluaran permit kerja sementara disempurnakan, katanya.

Menurutnya, majikan hendaklah bertanggungjawab memastikan semua dokumen yang dikemukakan semasa permohonan adalah tulen dan diperoleh daripada agensi pengeluar dokumen, bukan melalui ejen atau pihak ketiga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.