Pembangkang juga bertanggungjawab atas kejatuhan ringgit, kata bekas menteri

Pembangkang juga bertanggungjawab atas kejatuhan ringgit, kata bekas menteri

Salleh Said Keruak berkata kestabilan politik adalah kunci pelaburan asing sekali gus memberi kesan kepada kadar tukaran mata wang.

Salleh Said Keruak berkata laporan media mengenai rancangan berterusan pembangkang untuk menukar kerajaan menyebabkan negara mendapat perspektif negatif. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pembangkang juga perlu tanggungjawab atas kejatuhan ringgit kerana tindakan mereka yang sering mendakwa akan menumbangkan kerajaan, kata bekas ketua menteri Sabah, Salleh Said Keruak.

Bekas menteri komunikasi dan multimedia berkata, laporan media mengenai rancangan berterusan pembangkang untuk menukar kerajaan menyebabkan negara mendapat perspektif negatif yang secara tidak langsung menjejaskan keyakinan pelabur asing.

“Atas sebab itu pembangkang perlu mengambil sedikit tanggungjawab menjadi punca kejatuhan ringgit dan keadaan ekonomi semasa negara.

“Mereka perlu berhenti menggunakan media untuk menjejaskan kestabilan politik dan mensabotaj ekonomi, dan meletakkan kesalahan semata-mata atas kerajaan ketika ini,” katanya.

Ringgit merudum kepada lebih 4% setakat ini, meneruskan kejatuhan sejak tiga tahun lalu. Mata wang itu dibuka pada 4.7745/4.7800 berbanding dolar AS hari ini berbanding semalam yang ditutup pada 4.7710/4.7800.

Selasa lalu, ringgit jatuh kepada 4.7965 berbanding dolar AS, paling rendah sejak 4.8850 susulan kejatuhan daripada krisis kewangan serantau.

Sebelum ini, timbul spekulasi mengenai “Langkah Dubai” yang mendakwa wujud pertemuan antara pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menumbangkan kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Bulan lalu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menegaskan Perlembagaan Persekutuan membenarkan pembentukan kerajaan baharu tanpa perlu pilihan raya umum diadakan.

“Peruntukan dalam perlembagaan ini mesti dipatuhi dalam menentukan sebarang perubahan dalam kerajaan,” kata bekas perdana menteri itu dalam satu kenyataan.

Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa “perdana menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri” jika mereka tidak memperoleh sokongan majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, kecuali jika Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen atas permintaan mereka untuk membolehkan pilihan raya diadakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.