Laskar kanan TLDM mengaku tak salah terima rasuah RM46,000

Laskar kanan TLDM mengaku tak salah terima rasuah RM46,000

Tertuduh didakwa menerima wang itu secara serahan tangan daripada pemilik Nur Pro Consultant bagi urusan permohonan pinjaman LPPSA.

Tertuduh keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas prosiding hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas lapan pertuduhan menerima rasuah RM46,000 berhubung permohonan pinjaman pembiayaan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

Laskar Kanan Khairul Anuar Mat Sidek, 32, yang bekerja di Bahagian Perkhidmatan Anggota (Sel Pinjaman Perumahan Markas Angkatan Tentera Malaysia Kuala Lumpur) didakwa menerima RM46,000 secara serahan tangan daripada Norernawati Chin, pemilik syarikat Nur Pro Consultant bagi urusan permohonan pinjaman LPPSA membabitkan 10 individu.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kuarters Desa Setia Wira di sini, antara 6 Jan 2021 dan 24 Mei 2022 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh melaporkan diri ke pejabat SPRM sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Ahmad Syahmi Amran memohon jaminan RM8,000 atas alasan anak guamnya menanggung isteri sarat mengandung dan mempunyai seorang anak masih kecil.

“Anak guam saya memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dan hari ini dia datang sendiri ke mahkamah bagi menghadapi pendakwaan terhadapnya. Dia juga bukan seorang yang berisiko melarikan diri.”

Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 19 April ini untuk sebutan kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.