
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Mohd Nasir Deraman, berkata hasil risikan dan saluran maklumat Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (Cobra), anggota kastam menyerbu sebuah premis syarikat kurier di Penampang pada 9.10 pagi, 15 Feb lalu.
Katanya, pasukan serbuan itu dianggotai Cawangan Penguatkuasaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Cobra, menemukan 15 kotak disyaki mengandungi dadah dan pemeriksaan lanjut mendapati ia dadah jenis methamphetamine.
Menurutnya, dadah yang ditemukan dibungkus menggunakan empat jenis pembungkus plastik teh Cina.
“Tiada tangkapan dibuat setakat ini, namun usaha untuk mengesan pengirim dan penerima sedang dilakukan,
“Kes ini dalam siasatan lanjut bagi mengesan suspek yang terbabit,” katanya pada sidang media di Wisma Penguatkuasaan Kastam Zon Sabah di Sepanggar, lapor Bernama.
Nasir berkata, siasatan setakat ini mendapati bungkusan itu dihantar menggunakan penerbangan kargo udara dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu.
Beliau berkata, bungkusan kotak mengandungi dadah itu tidak dialamatkan ke mana-mana rumah atau premis lain, sebaliknya dihantar ke syarikat kurier berkenaan sebelum diambil oleh suspek.
Katanya, siasatan dilakukan untuk mengetahui sama ada kes ini melibatkan rangkaian sindiket, dan sama ada modus operandi pengedaran dadah untuk Sabah atau negeri ini hanya digunakan sebagai transit sebelum dihantar ke tempat lain termasuk luar negara.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu atau kegiatan penyeludupan diminta menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke pejabat kastam.